PRN Sabah diadakan sebelum Oktober 2025 - Hajiji
KOTA KINABALU - Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai tempoh sehingga Oktober tahun depan sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan untuk memberi laluan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia bermakna pilihan raya akan diadakan pada bila-bila masa sahaja sama ada sebelum atau sehingga tempoh tamat.
"Apa yang pasti, kita akan berhadapan dengan pilihan raya. Kita memerlukan mandat baharu daripada rakyat serta sokongan yang signifikan untuk menerajui kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Tempoh tersebut amat penting kepada rakyat dan negeri ini bagi memastikan segala agenda yang terkandung dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang kita gagaskan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
"Kita mahu pastikan, setiap keluh kesah rakyat dapat diambil perhatian dengan serius untuk diselesaikan," katanya ketika berucap pada persidangan Agung Tahunan Induk Gagasan Rakyat 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.
Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, PRN17 merupakan peluang terbaik untuk GRS memperkukuhkan kedudukan dan kekuatan parti.
"Momentum ini akan menjadikan Gagasan Rakyat dan GRS kukuh terpatri dalam politik arus perdana, sekali gus mencipta blok politik yang kuat lagi disegani.
"Melihat kepada situasi dan kedudukan kita masa kini, meskipun semuanya berjalan dengan baik dan teratur, tetapi Gagasan Rakyat, sebagai sebahagian daripada komponen dalam GRS, perlu mula memperkemaskan strategi, menyusun rapi pentadbiran dan pengurusan parti," katanya.
Beliau menasihatkan akar umbi dan kepimpinan bahawa ketika ini tiada lagi ruang untuk mereka berlengah atau berpuas hati dengan kedudukan serta pencapaian yang dikecapi ketika ini.
"Tiada lagi ruang untuk kita bermegah-megah dengan jawatan dan kedudukan. Rakyat adalah punca kuasa, di tangan rakyat terletaknya nasib kita.
"Parti ini sekadar bahtera atau kenderaan yang menggerakkan perjuangan kita. Saya sebagai Presiden dan anda sebagai Ketua Bahagian atau Ketua Cawangan dan sebagai Ketua Sayap, kitalah yang menakhoda atau menjadi jurupandu di peringkat kita masing-masing.
"Saya katakan ini sebagai peringatan kepada kita semua, bahawa di tahap ini, usaha kita seharusnya sudah sampai ke tahap paling maksimum, iaitu usaha mendekati dan menyantuni rakyat, bahkan usaha dalam mengajak rakyat untuk menyertai bahtera perjuangan kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!