Perjalanan pulang dua beranak berakhir dengan tragedi
TAMPIN - Perjalanan pulang dua beranak berakhir tragedi apabila motosikal ditunggang mereka bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 12 Jalan Tampin ke Gemas di sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa lelaki berusia 38 tahun dan ibunya 72 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Savy dari arah bertentangan bertembung dengan motosikal mangsa.
"Kereta terbabit dipandu lelaki berusia 19 tahun yang merupakan seorang mekanik dari Pulau Sebang, Melaka ke Palong, Jempol.
"Namun apabila sampai di jalan selekoh di tempat kejadian, pemandu itu gagal mengawal kenderaannya lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan penunggang lelaki dan ibunya yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Pulau Sebang meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambahnya, mayat mereka dibawa ke Hospital Tampin untuk tindakan lanjut manakala pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan berlaku diminta tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) atau menghubungi pegawai penyiasat di talian 013-9515011 atau 06-4431999 Bilik Gerakan IPD Tampin bagi membantu siasatan.
"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu kenderaan terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!