Anak pasangan buta huruf penerima Anugerah Pelajaran Diraja UniSZA
KUALA NERUS - Impian untuk mengubah nasib keluarga antara pendorong kepada Norimrana Mujahid Ali, 24, yang berjaya menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada sidang pertama Majlis Idul Ilmi (Istiadat Konvokesyen) Ke-16 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini pada Ahad.
Norimrana yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan itu menyatakan kejayaannya tersebut membuktikan bahawa dibesarkan dalam keluarga berpendapatan rendah (B40) dan buta huruf bukanlah penghalang bagi meraih kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.
"Saya dilahirkan dalam keluarga yang susah malah ibu bapa saya seorang buta huruf. Jadi ia menjadi pembakar semangat kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan.
"Dengan kejayaan ini, ia merupakan hadiah terindah buat ibu bapa saya sekali gus membuktikan bahawa walaupun dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan namun ia bukan penghalang untuk seseorang itu meraih kecemerlangan dalam pendidikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang pertama Majlis Idul Ilmi (Istiadat Konvokesyen) Ke-16 UniSZA di sini pada Ahad.
Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, dia juga sanggup berkorban cuti semesternya untuk tidak pulang ke kampung kerana mahu memberi tumpuan terhadap pelbagai aktiviti kokurikulum dan sukan di universiti.
"Mengulas mengenai cabaran sepanjang belajar di universiti, saya memulakan pengajian semester pertama dan kedua secara dalam talian kerana kekangan pandemik Covid-19 ketika itu yang menghalang pembelajaran secara bersemuka.
"Saya juga berazam mahu menjadi penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada suatu hari nanti ketika hari pertama mendaftar sebagai pelajar UniSZA.
"Alhamdulillah... semua pengorbanan saya selama ini terbalas apabila berjaya meraih anugerah tersebut sekali gus diharapkan kejayaan kecil mampu menjadi inspirasi kepada pelajar yang lain supaya menukar kelemahan menjadi kekuatan untuk meraih kejayaan," jelasnya.
Norimrana berkata, dia kini bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat di Kuala Lumpur selain menaruh impian untuk menjadi akauntan terbaik di negara ini pada masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!