Ilmu diperoleh di universiti hanya permulaan - Sultan Kedah
SINTOK - Kejayaan yang diraih oleh graduan di universiti dengan menggenggam segulung ijazah bukan menandakan proses pembelajaran mereka telah tamat sebaliknya hanyalah permulaan.
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, graduan digesa agar terus menerokai ilmu baharu sama ada melalui pendidikan formal atau sebaliknya kerana dunia sentiasa berubah.
"Pembelajaran di luar pendidikan formal akan membentuk anda untuk menghadapi dunia yang mencabar ini dengan kematangan.
"Jika anda menghadapi halangan, ketahuilah bahawa kegagalan adalah sebahagian daripada perjalanan menuju kejayaan.
"Kegagalan membina daya tahan dan membantu anda memahami kekuatan dan kelemahan anda," titah baginda pada pembukaan Istiadat Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-37 pada Ahad.
Sultan Sallehuddin yang juga Canselor UUM bertitah, graduan universiti juga diingatkan bahawa kejayaan yang diraih mereka tidak seharusnya dinikmati semata-mata untuk kepentingan peribadi tetapi perlu dikongsi untuk memberikan manfaat kepada orang lain.
Titah baginda, para graduan diingatkan menggunakan bakat dan kemahiran mereka untuk memberi manfaat kepada masyarakat, sama ada melalui penglibatan profesional atau khidmat masyarakat.
"Mencapai kejayaan dalam kerjaya dan kehidupan anda tidak sepatutnya mengorbankan nilai moral anda, kepimpinan bukan mengenai bertanggungjawab, ia adalah tentang menjaga mereka di bawah tanggungjawab anda.
"Kepimpinan sejati bermula dengan mengambil berat terhadap orang lain dan sentiasa menjunjung tinggi kejujuran sebagai prinsip teras," titah baginda.
Baginda bertitah, graduan digesa agar terus memupuk rasa ingin tahu, selain sentiasa mengingati tanggungjawab mereka kepada negara, agama dan masyarakat.
“Gunakan bakat dan kebolehan yang diperoleh di UUM untuk memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara.
"Jadilah individu yang membanggakan keluarga, universiti dan negara. Semoga anda semua berjaya dalam bidang pilihan anda dan menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kesejahteraan Malaysia," tambah baginda.
Sultan Sallehuddin juga memuji UUM atas komitmen universiti tersebut untuk terua memupuk generasi pemimpin masa depan.
"Institusi ini bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi juga berusaha untuk membina sahsiah dan integriti di kalangan graduannya.
"Tanggungjawab ini sejajar dengan matlamat untuk melahirkan individu yang berkebolehan yang akan membawa negara kita ke arah kemakmuran dan kejayaan yang lebih besar," titah baginda baginda lagi.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan mengumumkan seramai 6,742 graduan kelas 2024 akan menerima ijazah masing-masing pada sesi konvokesyen tersebut sehingga Khamis ini.
"Daripada jumlah ini, 5,539 adalah siswazah, manakala 1,126 adalah graduan pascasiswazah. Daripada jumlah itu juga, seramai 1,681 adalah siswazah kelas pertama. Tahniah diucapkan kepada semua.
“Seramai 84 graduan akan menerima pelbagai anugerah dan pingat kecemerlangan akademik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!