Polis kenal pasti pemandu lori langgar mati harimau belang - Nik Nazmi

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, polis telah mengenal pasti pemandu lori yang dipercayai melanggar mati harimau belang yang bangkainya ditemukan dengan sebahagian anggota badan hilang dipercayai dicuri.

Beliau berkata, bagaimanapun, mengenai kecurian sebahagian anggota badan itu dipercayai dilakukan oleh pihak lain.

Menurut Nik Nazmi, kecurian atau anggota badan yang hilang membabitkan empat batang taring, kuku pada kaki, kulit ekor dan sebahagian kulit di kepala harimau berkenaan.

"Pemandu yang melanggar harimau belang telahpun dikenal pasti tetapi mengenai kecurian itu, (daripada) apa yang kita dapat maklumat, mungkin (dilakukan oleh) pihak lain.

"Kita sedang mendapatkan maklumat lanjut untuk melihat siapa bertanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Burung Enggang Kebangsaan di sini pada Ahad.

Semalam, seekor harimau belang ditemukan mati dipercayai digilis lori di KM67.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berdekatan hentian rehat dan rawat (R&R) Titiwangsa.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff percaya ada anggota badan atau bahagian tertentu daripada karkas itu telah dicuri seperti kulit, tulang, taring, kuku dan misai. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!