U Mobile tekad sediakan akses 5G mampu milik
PROJEK rangkaian 5G kedua negara yang dibangunkan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) akan menyediakan akses 5G mampu milik kepada semua rakyat Malaysia termasuk perkhidmatan tanpa sebarang kos tambahan.
Memetik laporan akhbar Business Today, Pengerusi U Mobile, Tan Sri Vincent Tan berkata, syarikatnya berpegang kepada komitmen untuk menyediakan perkhidmatan yang berpatutan dan inovatif selain memecahkan monopoli penyediaan akses 5G oleh pengendali rangkaian tunggal, Digital Nasional Bhd (DNB).
Katanya, persaingan antara dua rangkaian akan memastikan keterjangkauan, kesalinghubungan dan ketahanan dalam landskap digital Malaysia.
"Walaupun syarikat telekomunikasi pada awalnya mencadangkan untuk membiayai pembangunan 5G secara persendirian, namun kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini memilih model monopoli yang dibiayai oleh dana awam seterusnya meletakkan RM16.5 bilion dalam risiko.
“Sebaliknya, U Mobile akan sepenuhnya membiayai rangkaian kedua ini tanpa wang pembayar cukai," kata beliau.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Khamis lalu dilaporkan berkata, U Mobile dipilih sebagai penyedia rangkaian 5G kedua Malaysia melalui proses tender terbuka dan bukan melalui penganugerahan terus atau 'direct award'.
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan penilaian yang sesuai terhadap syarikat telekomunikasi tersebut.
Vincent menjelaskan, U Mobile yang diasaskan lebih 17 tahun lalu sebagai syarikat telekomunikasi berasaskan inovasi untuk mencabar syarikat gergasi industri, telah membuktikan kejayaannya apabila telah mencapai liputan rangkaian 95 peratus di seluruh Malaysia, mencapai sembilan juta pelanggan dan menggaji lebih 1,000 rakyat Malaysia.
“U Mobile beroperasi dengan rekod pencapaian yang signifikan dengan pendapatan sebanyak RM3.5 bilion pada tahun 2023, keuntungan bersih RM102 juta dan jumlah aset bernilai RM6.2 bilion.
"Dengan pelaburan lebih RM5 bilion dari sektor swasta, kami telah membina lebih daripada 10,000 tapak rangkaian, menawarkan perkhidmatan kompetitif yang 20 hingga 25 peratus lebih murah daripada pesaing, sambil membiayai pertumbuhan kami sendiri," ujarnya.
Mengenai kebimbangan pemilikan asing dalam syarikat tersebut, pengasas Berjaya Corporation Bhd (BCorp) itu menegaskan, U Mobile dipimpin oleh pemilikan Malaysia dan aktif melabur dalam ekonomi digital tempatan.
"Pemilikan asing adalah perkara biasa dalam kalangan syarikat telekomunikasi di seluruh dunia. Hari ini pemilikan asing dalam U Mobile hanyalah 20 peratus, jauh lebih rendah berbanding pesaing seperti CelcomDigi yang mempunyai kira-kira 33 peratus pemilikan asing,” dakwanya.
Vincent turut menggesa menyeru orang ramai supaya tidak membuat komen tidak bertanggungjawab terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang telah menjadi pemegang saham dalam U Mobile sejak 2015 iaitu sembilan tahun sebelum Seri Paduka Baginda dilantik sebagai Agong.
“Kami menggalakkan perbincangan awam terbuka, tetapi kami meminta agar sebarang komen mengenai raja kita dibuat dengan bertanggungjawab dan berdasarkan fakta bukannya dakwaan yang tidak berasas,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!