Johor wartakan tanah projek keterjaminan makanan

Mohammad Hardee (kiri) dan Zahari (dua dari kini) menyerahkan sumbangan Back To School pada Majlis Pelancaran Program Santuni Madani di Dewan Hassan Abdullah, Kampung Pasir Johor Bahru, pada Ahad.
Mohammad Hardee (kiri) dan Zahari (dua dari kini) menyerahkan sumbangan Back To School pada Majlis Pelancaran Program Santuni Madani di Dewan Hassan Abdullah, Kampung Pasir Johor Bahru, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor kini sedang mewartakan tanah bagi projek keterjaminan makanan di daerah Segamat dalam usaha meningkatkan hasil pertanian di negeri ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, kawasan seluas 800 hingga 1,200 hektar itu sudah dikenal pasti dan tidak terlibat dengan banjir.

“Aktiviti pertanian seperti tanaman sayur-sayuran termasuk nanas dan ternakan ayam. Kita akan putuskan tanaman yang sesuai termasuk herba.

“Kita juga sudah kenal pasti beberapa usahawan dalam dan luar negeri yang berpotensi untuk terlibat menjayakannya.

"Ia peringkat akhir perbincangan dan dijangka Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan umum perkara tersebut dalam Belanjawan Johor 2025 pada hujung bulan ini," katanya.

Penduduk bergambar selepas Majlis Pelancaran Program Santuni Madani di Dewan Hassan Abdullah, Kampung Pasir Johor Bahru pada Ahad.
Penduduk bergambar selepas Majlis Pelancaran Program Santuni Madani di Dewan Hassan Abdullah, Kampung Pasir Johor Bahru pada Ahad.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Satu Pemimpin, Satu kampung (Santuni Madani) di Dewan Hassan Abdullah, Kampung Pasir di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank, Hamdan Mohd Habibollah serta Ketua SME Bank Wilayah Selatan, Maniza Mohd Abu.

Artikel Berkaitan:

Zahari memberitahu arahan sudah dikeluarkan kepada semua pihak terbabit termasuk jabatan perikanan, pertanian dan veterinar supaya lebih bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

“Kita harap ML tahun ini tidak seburuk yang lepas-lepas. Walau bagaimanapun semua jabatan telah mula membuat pemantauan tentang hasil-hasil tangkapan dan juga pertanian," katanya.

Sementara itu, Dr Mohammad Hardee berkata, program berkenaan akan memberi manfaat kepada 8,000 penduduk kampung tersebut dan bantuan akan diberi secara berterusan selepas ini.

Beliau berharap, menerusi program berkenaan penduduk bukan sahaja merebut peluang pinjaman atau mendapatkan geran tetapi juga khidmat bimbingan dan nasihat.

Tambahnya, menerusi majlis tersebut juga seramai 100 pelajar dari kampung berkenaan menerima bantuan program Back To School 2025 dengan peruntukan sebanyak RM20,000.

-

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!