Dua sahabat maut dirempuh pemandu mabuk
BUTTERWORTH - Dua lelaki maut selepas dirempuh pemandu mabuk dalam kejadian di Kilometer 13.0 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini awal pagi tadi.
Mangsa, Muhamad Syaiful Hilmi Rosidi, 21, dan Muhammad Amin Najmi Azaman,19, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dalam kejadian jam 2.40 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125ZR dirempuh kereta Toyota Vios yang dipandu wanita berusia 47 tahun dari arah belakang.
“Akibat rempuhan menyebabkan pembonceng dan penunggang tercampak dari motosikal dan kenderaan itu turut terbakar. Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini
Noorzainy berkata, pemandu kereta yang bekerja sebagai jurujual dalam perjalanan dari sebuah pusat hiburan di Jalan Raja Uda ke rumah ibunya di Kepala Batas.
Katanya, ujian alkohol yang dijalankan terhadap wanita itu mendapati dia memandu di bawah pengaruh alkohol.
Tambahnya, wanita terbabit ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Noorzainy meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Nur Syafinaz di talian 018-2881424 atau di balai polis berdekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!