NIOSH bentang kajian inovatif kesihatan mental di Denmark
SHAH ALAM - Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Nasional (NIOSH) melakar sejarah apabila menjadi satu-satunya institut penyelidikan luar negara yang dijemput membentangkan kajian di Persidangan Penyelidikan Stres ke-20 anjuran Pusat Penyelidikan Stres Copenhagen di Universiti Copenhagen, Denmark, Khamis lalu.
NIOSH dalam satu kenyataan berkata, pembentangan yang menghimpunkan pakar kesihatan mental dari seluruh dunia itu membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap sumbangan Malaysia dalam penyelidikan terapi kesihatan mental.
"Delegasi NIOSH diketuai Pengarah Eksekutifnya, Ayop Salleh dan turut disertai Pakar Teknikal, Siti Nurani Hassan yang membentangkan kajian bertajuk 'Elektroensefalografi (EEG) dan Variabiliti Kadar Jantung (HRV) Dalam Reaksi Terhadap Pelbagai Terapi Kesihatan Mental'.
"Penyelidikan tersebut dibuat dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi menyokong usaha kerajaan Malaysia untuk meningkatkan kesejahteraan mental di tempat kerja.
"Ia susulan tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menunjukkan sejuta atau 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami kemurungan," katanya pada Ahad.
Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan, penyelidikan NIOSH yang dibentangkan di persidangan di Copenhagen menunjukkan tindak balas fisiologi terhadap terapi kesihatan mental menggunakan dua biomarker utama iaitu aktiviti elektrik otak (EEG) dan variabiliti kadar jantung (HRV).
Ujarnya, inisiatif berkenaan adalah untuk memahami hubungan minda dan tubuh serta menunjukkan kesan terhadap terapi yang berbeza mempengaruhi istirahat serta kesihatan mental.
"Kajian ini melibatkan tiga pendekatan terapi utama iaitu latihan pernafasan dalam, aromaterapi dengan minyak pati dan Ruqyah (bacaan al-Quran) bersama kumpulan kawalan untuk perbandingan hasil cerapan.
"Hasil kajian menunjukkan pernafasan dalam dan aromaterapi adalah kaedah berkesan untuk mengurangkan stres serta meningkatkan kesejahteraan mental di tempat kerja.
"Terapi yang mudah dilaksanakan ini membantu pekerja mencapai ketenteraman, mengurangkan kebimbangan dan meningkatkan fokus," jelasnya.
Tambah kenyataan itu, selain menyertai persidangan, delegasi NIOSH Malaysia turut mengadakan lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan Kebangsaan untuk Persekitaran Kerja (NFA) Denmark bagi merangka kerjasama antarabangsa untuk menangani cabaran baharu keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia termasuk isu berkaitan kesihatan mental.
Katanya, langkah berkenaan turut selari dengan usaha NIOSH untuk melatih 10,000 peserta di bawah Kursus Pertolongan Cemas Psikologi Pekerjaan (OPFA) secara percuma.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!