Wanita ditemui mati dalam bilik, anak saudara ditahan bantu siasatan
IPOH - Bau busuk dari sebuah rumah membawa kepada penemuan mayat seorang wanita yang dipercayai dibunuh di dalam sebuah bilik di Taman Puteri Lindungan Bintang, Pasir Puteh di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam mengenai penemuan mangsa yang merupakan warga tempatan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terkurung di sebuah bilik di rumah terbabit.
"Pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati mayat mangsa dalam keadaan membusuk dan dihantar terus ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk bedah siasat dijalankan bagi mengetahui punca kematian.
"Berdasarkan siasatan pantas pihak boleh membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 21 tahun yang merupakan anak saudara mangsa bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Abang Zainal Abidin berkata, hasil saringan air kencing mendapati lelaki terbabit negatif dadah selain tiada rekod jenayah lampau.
Jelasnya, siasatan kes berkenaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Sehubungan itu katanya, pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes terbabit tampil memberi keterangan.
Menurutnya, mana-mana pihak boleh terus menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintenden S Dasarathan di talian 012-5644484 atau ke balai polis berhampiran bagi siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!