Pendakwaan terhadap Jho Low, CEO, Pengarah Petrosaudi bermula

Latheefa Koya
Latheefa Koya
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia memulakan tindakan pendakwaan terhadap ahli perniagaan kontroversi, Jho Low; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petrosaudi International Ltd, Tarik Essam Ahmad Obaid dan pengarah syarikat itu, Patrick Andrew Marc Mahony.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, kesemua individu tersebut dituduh atas dua pertuduhan termasuk bersubahat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan rasuah.

"Mereka telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam dan namun Majistret S Mageswary mengeluarkan waran tangkap terhadap kesemua tertuduh kerana tidak hadir pada prosiding itu," katanya.

"Waran tangkap dikeluarkan bagi membolehkan tertuduh menghadiri perbicaraan tapi memandangkan mereka berada di luar negara, notis peringatan dihantar kepada Interpol," katanya selepas Simposium Gender Mainstreaming And Women Empowerment to Fight Corruption (SPRM).

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Latheefa berkata, SPRM mempunyai kuasa untuk melakukan pendakwaan terhadap warga asing yang berada di luar negara.

"Apa yang anda selalu dengar ialah jumlah wang di negara ini tetapi dalam realiti, kita bercakap mengenainya yang berada di seluruh dunia,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho bersama-sama Tarik Essam dan Marc Mahony didakwa bersubahat dalam konspirasi jenayah dengan Najib menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan balasan rasuah RM60,629,839.43.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur antara 24 Februari dan 14 Jun 2011.

Tarik Essam dan Marc Mahony turut berdepan dengan pertuduhan kedua iaitu secara bersama-sama melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu dengan menerima ASD3 juta daripada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didepositkan ke akaun milik 1MDB Petrosaudi sedangkan wang tersebut adalah hasil penyelewengan dana syarikat itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di JP Morgan (Suisse) SA, 8, rue de la Confédération, PO Box 5160, 1211 Geneva 11, Switzerland pada 30 September 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib.

Pada November lalu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan Najib memberitahu mahkamah bahawa Jho Low yang menjadi buruan pihak berkuasa telah bersubahat dengan Tarik Essam dan Marc Mahony untuk memperdaya bekas Perdana Menteri itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!