Baitul Mahabbah beri perlindungan kepada kanak-kanak warga asing
KUALA KEDAH - Kerajaan bertanggungjawab melindungi kebajikan kanak-kanak termasuk kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memasuki negara ini secara haram.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi melindungi kanak-kanak daripada golongan PATI yang ditahan bersama ibu bapa mereka ketika menjalankan operasi penguatkuasaan, Baitul Mahabbah kelima dibina di Kedah.
Menurutnya, ia bagi menempatkan sementara kanak-kanak berusia bawah 18 tahun bersama ibu mereka sehingga dokumen perjalanan pulang ke negara asal disiapkan.
“Institusi yang diperkenalkan Kerajaan Madani lebih setahun lalu ini merupakan pusat penempatan sementara kanak-kanak warga asing berumur 10 tahun yang ditahan bersama penjaga sehingga proses dokumentasi selesai.
"Kita mesti tempatkan mereka dengan selamat, bukan biarkan begitu sahaja khususnya kanak-kanak.
“Ia juga antara komitmen kerajaan untuk melindungi hak kanak-kanak tanpa mengira status seperti dinyatakan dalam Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), yang memperuntukkan kanak-kanak mesti dilindungi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Baitul Mahabbah Darul Aman di Jalan Kuala Kedah pada Ahad.
Saifuddin berkata, pembukaan Baitul Mahabbah ini turut meningkatkan imej negara di persada antarabangsa dalam usaha menjaga hak asasi kanak-kanak warga asing.
“Seringkali bila saya berucap di pentas antarabangsa, fokus mengenai Malaysia antaranya kesesakan penjara dan depoh Imigresen serta kematian dalam lokap atau depoh imigresen.
“Inilah perkara-perkara yang dilihat antaranya komitmen kerajaan dalam siri-siri dialog atau pertemuan dengan pelbagai institusi antarabangsa di peringkat Bangsa-Bangsa Bersatu, kerana itu kita bukan hanya bertindak atas perhatian tersebut malah atas rasa tanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, empat Baitul Mahabbah lain terletak di Nilai, Negeri Sembilan; Papar, Sabah; Bekenu, Miri serta di Tanah Merah, Kelantan.
“Pembukaan Baitul Mahabbah kelima ini menempatkan keseluruhan 415 kanak-kanak bersama penjaga.
"Seramai 128 orang tahanan berjaya dihantar pulang sejak pembukaan Baitul Mahabbah pertama pada September tahun lepas.
“Satu lagi Baitul Mahabbah akan dibuka di Johor dalam masa terdekat. Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan kanak-kanak di depot Imigresen terpelihara dan selamat,” katanya.
Saifuddin memaklumkan, kapasiti kesemua lima pusat berkenaan mampu menampung sehingga 340 penghuni.
“Buat masa ini, purata kanak-kanak di depoh Imigresen sekitar 1,000 orang berbanding jumlah penghuni di depoh Imigresen seluruh negara seramai 16,000 orang.
“Kita terjemahkan dasar ihsan dengan tempatkan mereka dalam keadaan lebih kondusif dan terjaga dengan kemudahan asas termasuk perubatan,” katanya.
Menurutnya lagi, penglibatan pihak swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat dialu-alukan dalam membantu menyediakan kebajikan penghuninya.
“Peruntukan membina pusat ini diperoleh daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM10 juta, yang mana kos pembinaan Baitul Mahabbah Darul Aman dianggarkan RM2.2 juta.
“Pengurusan Baitul Mahhabbah Darul Aman ini unik kerana melibatkan tujuh agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba, Rela dan Pejabat Penghulu.
“Beberapa NGO turut memberikan bantuan dari segi pendidikan, kesihatan dan perubatan serta perlindungan kanak-kanak, antaranya Suka Society, International Organization for Migration (IOM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Malaysian Relief Agency (MRA),” katanya.
Pada masa ini, Baitul Mahabbah Darul Aman menempatkan 35 penghuni terdiri daripada 20 kanak-kanak dan 15 penjaga perempuan warganegara Myanmar, Kemboja dan Vietnam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!