Hubungan kerajaan Persekutuan-Kedah makin baik, Saifuddin senada dengan Sanusi
KUALA KEDAH - Hubungan antara kerajaan negeri Kedah dan kerajaan Persekutuan dilihat semakin baik dan positif khususnya melibatkan kepimpinan tertinggi.
Ia diakui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut senada dengan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung hubungan kerajaan Persekutuan dan negeri yang dikatakan semakin baik.
Saifuddin yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah turut berterima kasih kepada Sanusi atas usaha yang dimainkan kerajaan negeri dalam menjalinkan kerjasama baik demi kebaikan banyak pihak.
"Saya ucap terima kasih kepada sahabat saya, Datuk (Seri) Sanusi, kalau dia ada usaha ke arah itu. Sangat segak, cantik keadaan itu.
“Saya nampak tidak ada masalah di pihak kami, saya ucap tahniah dan syabas atas kenyataan Sanusi itu. Hubungan (kerajaan Persekutuan dan Kedah) koi (semakin) segak (baik), seperti kata orang Kedah," katanya.
Saifuddin berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Baitul Mahabbah Darul Aman di Jalan Kuala Kedah pada Ahad.
Pada Khamis, Sanusi mengakui hubungan antara kerajaan negeri pimpinannya dengan kerajaan Persekutuan bertambah baik terutama membabitkan projek-projek pembangunan di negeri Jelapang Padi demi manfaat penduduknya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu turut sekali lagi membuat permohonan maaf secara terbuka kepada mana-mana pihak yang tersinggung atas percakapan dan perbuatannya sebelum ini.
Sanusi dilaporkan berkata, sikap 'dingin' dan 'keras' yang ditampilkan beliau sebelum ini merupakan reaksi balas terhadap 'serangan' bertali arus yang diterima terutama ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) Ogos tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!