Arab Saudi anjur Sidang Kemuncak Arab-Islam berkait pencerobohan Israel

Arab Saudi akan mengadakan mesyuarat tergempar Sidang Kemuncak Arab-Islam pada 11 November sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Israel yang berterusan di wilayah Palestin dan Lubnan. Foto AFP
Arab Saudi akan mengadakan mesyuarat tergempar Sidang Kemuncak Arab-Islam pada 11 November sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Israel yang berterusan di wilayah Palestin dan Lubnan. Foto AFP
A
A
A

RIYADH - Arab Saudi akan mengadakan mesyuarat tergempar Sidang Kemuncak Arab-Islam pada 11 November sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Israel yang berterusan di wilayah Palestin dan Lubnan.

Keganasan yang semakin meningkat di wilayah Palestin dan Lubnan, termasuk pencerobohan kejam Israel, telah memaksa pemimpin Arab dan Islam untuk mengambil tindakan segera, menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Keutamaan utama termasuk menghentikan pencerobohan, melindungi orang awam, memberi sokongan kepada rakyat Palestin dan Lubnan, menyatukan pendirian, dan memberi tekanan kepada masyarakat antarabangsa untuk mengambil langkah tegas bagi menghentikan serangan yang berterusan dan mewujudkan keamanan dan kestabilan yang berkekalan di rantau ini.

SPA melaporkan bahawa memandangkan peranan bersejarah Arab Saudi dalam memartabatkan Islam dan umat Islam, serta komitmennya dalam mempertahankan isu-isu Arab dan Islam, khususnya isu Palestin, Kerajaan Arab Saudi, di bawah pimpinan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, telah menggesa sidang kemuncak itu diadakan Arab Saudi pada 11 November.

Sidang kemuncak itu dibina berdasarkan Sidang Kemuncak Arab-Islam yang diadakan di Riyadh pada 11 November 2023, di mana pemimpin-pemimpin Arab dan Islam mengiktiraf keperluan mendesak untuk usaha yang disatukan dan pendirian kolektif bagi menangani perkembangan yang berbahaya dan belum pernah berlaku di Gaza dan wilayah Palestin yang lain.

Ini memerlukan solidariti antara negara-negara Arab dan Islam untuk menghadapi cabaran ini dan mengurangkan akibatnya.

Sidang kemuncak tahun lalu telah menugaskan menteri luar Arab Saudi, Jordan, Mesir, Qatar, Turkiye, Indonesia, Nigeria, Palestin, dan mana-mana negara yang berminat, bersama dengan setiausaha agung Liga Arab dan OIC, untuk memulakan tindakan antarabangsa segera yang bertujuan menghentikan konflik di Gaza dan memberi tekanan untuk proses politik yang serius bagi mencapai keamanan yang berkekalan dan menyeluruh berdasarkan prinsip yang diiktiraf antarabangsa. - Bernama-SPA

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!