Tindakan berani Malaysia bawa usul
SHAH ALAM - Usaha Malaysia untuk membawa usul bagi menghalang Israel melenyapkan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) adalah tindakan berani dan secara tidak langsung ‘memulihkan’ imej Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ternyata gagal mempertahankannya.
Pakar Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, walaupun adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk mengharapkan Israel menerimanya dan membenarkan UNRWA beroperasi semula, namun ia perlu dilakukan sebagai tanda solidariti.
Beliau juga percaya, kerajaan sudah membuat perkiraan kesan daripada usul tersebut, termasuk usaha menyingkirkan Israel daripada menjadi anggota PBB yang pastinya akan meningkatkan kemarahan Israel kepada Malaysia.
“Saya memuji Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan kerajaan Malaysia atas prinsip dan tindakan berani seperti mempertahankan UNRWA, mahu mengeluarkan Israel daripada PBB dan tetap bertahan dalam misi pengaman UNIFIL (Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan) di Selatan Lubnan.
“Sebelum ini juga kita menghalang kapal Israel daripada berlabuh. Semua tindakan ini jelas menunjukkan bahawa kita memang mempunyai prinsip yang sangat tegas dan bersolidariti dengan Palestin.
“Tindakan PM untuk membawa usul UNRWA di Riyadh, saya fikir tindakan paling tepat kerana buat masa ini UNRWA boleh dikatakan gagal sebab tidak boleh beroperasi lagi dengan tuduhan, kemusnahan dan sebagainya termasuk serangan-serangan yang terpaksa dihadapi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang Perdana Menteri yang akan mengusulkan supaya sokongan sepenuhnya diberikan kepada UNRWA untuk melaksanakan mandatnya dalam memberi perkhidmatan sosial dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin melalui sidang kemuncak yang bakal berlangsung hari ini di Riyadh, Arab Saudi.
Mengulas lanjut, Mohd Mizan menjelaskan, UNRWA perlu dikekalkan dalam apa jua keadaan sekali pun kerana ‘kegilaan’ Israel di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu tidak dapat disekat lagi.
“Kalau kita lihat, dia memang memusuhi PBB juga sebab sekarang ini PBB menjadi penghalang. Disebabkan itu mereka dengan sengaja menyerang UNRWA, UNIFIL dan dalam banyak keadaan, provokasi itu menjadi lagi kuat.
“Apabila membawa usul ini, maknanya kita menghalang mereka dan pastinya Israel tidak senang. Mereka sangat membenci Malaysia dan apabila usul UNRWA ini dibawa, rasa meluat itu lagi bertambah,” jelasnya.
Ditanya kesan usul yang akan dibawa itu kepada Malaysia, beliau menjelaskan, kerajaan sudah pasti membuat perkiraannya.
“Memang akan ada kesan sebenarnya dari segi tekanan perdagangan, pelaburan dan sebagainya tapi untuk kita mendapat tekanan sehingga disekat, tidaklah.
“Saya melihat usul kita untuk mengeluarkan Israel daripada PBB itu lebih besar dan kuat. Kalau nak kata tekanan, ia lebih memberikan kesan tapi kita tidak memberhentikannya.
“Malaysia sekarang dalam posisi tegas dan berani. Bukan kita sahaja tapi kalau dilihat rata-rata negara di dunia sebenarnya dalam keadaan betul-betul geram dengan Israel tapi mereka tidak boleh lakukan apa-apa,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!