Hiasan tanaman guna lumut cecah harga puluhan ribu

Chew Huat menunjukkan antara terrarium yang mencabar dihasilkannya
Chew Huat menunjukkan antara terrarium yang mencabar dihasilkannya
A
A
A

SEREMBAN - Siapa sangka dengan bermodalkan lumut yang dikutip di dalam hutan, seorang lelaki mampu meraih pendapatan mencecah puluhan ribu menerusi hasil jualan hiasan tanaman dalam balang kaca atau terrarium.

Meneroka potensi itu, Tan Chew Huat, 41, mula berjinak-jinak dalam bidang tersebut lima tahun lalu ketika tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurutnya, pada awalnya ia sekadar hobi bagi mengisi masa lapang dan belajar mengenainya melalui YouTube.

"Sebenarnya saya suka aktiviti mengembara di dalam hutan untuk melihat keindahan panorama alam.

"Dari situ timbulnya idea untuk saya 'kecilkan' keindahan dalam hutan itu menerusi penghasilan tanaman dalam balang kaca ini supaya saya dapat tengoknya hari-hari," katanya ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.

Chew Huat membuat gubahan terrarium dalam balang kaca bersaiz kecil.
Chew Huat membuat gubahan terrarium dalam balang kaca bersaiz kecil.

Bagaimanapun katanya, dia terfikir untuk menjualnya dan mengambil tempahan selepas melihat potensinya di luar negara.

Ujarnya, harga bagi satu terrarium boleh dijual antara RM100 sehingga puluhan ribu bergantung kepada saiz bekas atau balang kaca dan kreativiti gubahan yang dihasilkan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau dekorasinya lagi rumit, semakin mahal harganya dan paling penting kita perlu memastikan lumut dan pokok hiasan digunakan hidup dengan baik.

"Ia samalah seperti sebuah rumah, kalau reka bentuknya unik dan menarik, harganya lebih mahal," katanya.

Antara jenis pokok yang boleh digunakan dalam terrarium.
Antara jenis pokok yang boleh digunakan dalam terrarium.

Jelasnya, tempahan terrarium paling mahal yang pernah diterimanya bernilai RM30,000 dengan saiz sebesar 2.13 meter.

Selain itu kata Chew Huat, kelebihan terrarium adalah penjagaan yang mudah dan hanya perlu disiram sebulan sekali.

Pada masa sama katanya, ia juga perlukan pencahayaan lampu antara lapan hingga 12 jam setiap hari.

"Seperti mana tumbuhan lain yang perlukan air dan cahaya, begitu jugalah dengan terrarium. Tapi cahaya matahari itu kita ganti dengan lampu.

Antara terrarium yang dijual Chew Huat.
Antara terrarium yang dijual Chew Huat.

"Cumanya bukan semua jenis lumut dan pokok yang boleh digunakan dalam terrarium. Sebab itu pengubah terrarium ini perlu tahu mana yang bersesuaian," katanya.

Baginya, mereka yang berkecimpung dalam bidang terrarium boleh diusahakan secara serius untuk menjana pendapatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!