[VIDEO] Parti Impian Sabah umum 52 calon bertanding PRN Sabah
KOTA KINABALU - Seramai 52 daripada 73 calon Parti Impian Sabah mengumumkan yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Presidennya, Michel Alok berkata, setakat ini hampir keseluruhan calon disahkan akan bertanding manakala selebihnya akan diselesaikan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
"Ada sedikit yang perlu diselesaikan dan kalau tiada halangan, mungkin hujung bulan ini dan paling lewat pun bulan Disember.
"Saya yakin 73 kerusi (calon) kita sudah ada dan sebenarnya kita mahu mencari calon-calon wanita, tetapi kita juga tidak boleh memaksa kerana ramai calon wanita tidak berani.
"Masih banyak yang kosong dan kita akan beri peluang kepada calon-calon wanita sekiranya ada," katanya ketika ditemui selepas majlis makan malam amal di sini pada malam Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai calon yang dikemukakan termasuk hanya dua calon wanita yang mewakili parti itu dalam PRN akan datang.
Sementara itu, ditanya mengenai kriteria calon yang ditampilkan, beliau memaklumkan mereka bukan dalam kalangan yang pernah menjadi wakil rakyat sebelum ini.
"Kita tidak lagi memberi peluang kepada yang sudah menjadi wakil rakyat, hanya beri kepada calon baharu. Yang penting calon ini mesti ada hati untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Mereka juga perlu ada misi dan misi untuk bantu rakyat. Yang lain itu nombor dua termasuk pendidikan kerana saya sudah maklumkan pemimpin yang kita ada memiliki pekerjaan profesional, berpangkat dan berpengalaman tetapi jika ini kriteria yang kita perlu kenapa sampai sekarang Sabah masih begini.
"Sebab itu saya kata, kalau ada mereka yang bergelar doktor tapi hati dan visinya baik saya beri peluang. Namun jika mereka tiada pendidikan pun tetapi hati mereka untuk rakyat dan ada misi serta visi, kenapa kita tidak beri peluang kepada mereka untuk mentadbir," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menolak golongan berpendidikan daripada menjadi calon atau memegang pucuk pimpinan namun sentiasa melihat kepada asas perjuangan mereka.
"Saya tidak kisah sama ada calon muda atau yang sudah berumur, yang penting mereka ada misi, visi, masih sihat dan boleh berkhidmat.
"Calon muda kebanyakannya tidak berani, jadi saya melihat dari segi keperluan kita. Walaupun mereka muda, ada pendidikan dan ada pangkat, tetapi hati mereka tidak untuk rakyat dan tidak mahu membantu, tiada guna juga," katanya.
Ditanya apa jaminan Parti Impian Sabah tidak terpengaruh dengan sebarang tawaran daripada pihak lain untuk tidak bergabung, Michel berkata, mereka telah mengikat antara satu sama lain melalui memorandum persefahaman (MoU).
"Sebab itu saya buat MoU supaya kita bersatu kali ini, kita jangan senang-senang dipujuk.
"Kita buat satu ketetapan dan buat komitmen bersama-sama, bukan untuk seorang. Kita semua setuju dengan satu perkara jangan berubah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!