KPDN serbu premis jual minyak pelincir tiruan
PUTRAJAYA - Padah menjual minyak pelincir dan minyak transmisi automatik kenderaan disyaki tiruan, tiga premis berasingan di Lembah Klang diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menerusi kenyataan, Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Datuk Azman Adam berkata, operasi dilakukan serentak pada Selasa minggu lalu menemukan sejumlah 3,631 unit minyak pelincir, 3,605 minyak transmisi automatik, 710 unit penyejuk radiator, 190 unit penapis udara kenderaan yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].
Kesemua barangan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM396,469.
Selain itu, beliau berkata, tiga lelaki lelaki warga tempatan yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta 815.
"Hasil aduan daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar serta risikan awal yang telah dilakukan oleh KPDN mendapati kesemua premis terbabit menjalankan perniagaan menjual dan mengedar minyak pelincir dan minyak transmisi automatik kenderaan jenama terkenal yang disyaki tiruan.
"Modus operandi ketiga-tiga premis ini adalah dengan mengedar barangan terbabit untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan turut menjual secara dalam talian kepada pengguna melalui platform pasar dalam talian," katanya pada Isnin.
Ujar Azman, kertas siasatan telah dibuka bagi siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah subseksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
"Syarikat ini juga disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan cap dagangan," jelasnya.
Dalam pada itu, Azman memberikan amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menjual barangan yang tidak mendapat kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar sah.
"Pengguna turut dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan termasuk minyak pelincir dan minyak transmisi automatik kenderaan seumpama ini kerana boleh
mengakibatkan kerosakan ke atas sistem enjin dan mekanikal kenderaan, selain dikhuatiri boleh mengakibatkan kemalangan serta mengancam keselamatan pengguna itu sendiri," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!