Pelajar UPNM retak tulang dipijak senior: 9 individu dirakam keterangan

Rusdi. Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Rusdi. Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sembilan individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes penuntut tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang dipercayai dipijak penuntut senior.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis dijangka akan merakam keterangan suspek pada petang Isnin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

"Setakat ini, sembilan individu telah dirakam percakapan manakala suspek pula dijangka tampil di IPD Cheras pada petang ini untuk dirakam keterangan," katanya.

Pada Ahad, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.40 malam Jumaat.

Rusdi dilaporkan berkata, kejadian berlaku pada jam 10.45 malam 21 Oktober lalu, ketika mangsa berada di tepi padang kawad setelah selesai panggil nama.

Lelaki berusia 19 tahun itu dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga, di universiti berkenaan.

Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital berhubung kecederaan yang dialami.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan dilengkapkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, Kementerian Pertahanan berpendirian kejadian seumpama itu tidak wajar berlaku dan hanya merosakkan imej UPNM dan institusi pengajian tinggi.

Kementerian Pertahanan akan memberi sepenuh kerjasama dan perhatian dalam perkara itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!