Hari Keluarga jadi acara tetap tahunan
KUALA LUMPUR - Hari Keluarga akan dijadikan sebagai acara tetap tahunan di semua kementerian dan agensi peringkat persekutuan dan negeri bermula tahun ini bagi memperluaskan sambutan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan (NBKK) di samping menggalakkan pelaksanaan program kesejahteraan keluarga mengikut kapasiti agensi berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perlaksanaan tersebut perlu dijadikan acara tahunan wajib pada setiap November, manakala bagi sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti digalakkan supaya melaksanakan program kesejahteraan keluarga mengikut kapasiti masing-masing.
Tegas beliau, setiap majikan disaran merancang aktiviti berbentuk kekeluargaan dengan cara masing-masing berpandukan nilai-nilai positif dan etika yang baik untuk memelihara dan memperkukuhkan kesejahteraan keluarga, bukan hanya sambutan semata-mata.
"Suka diingatkan bahawa majikan yang melaksanakan hari keluarga dan aktiviti kekeluargaan di tempat kerja layak mendapatkan pelepasan cukai.
"Ambillah peluang, kerana usaha ini secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti pekerja selain membantu dalam mengimbangi kehidupan bekerjaya dan berkeluarga seterusnya memperkukuhkan institusi keluarga para pekerja. Pada masa sama, perkara ini sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada kesihatan mental yang baik,"katanya dalam ucapan perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan (NBKK) 2024, di Taman Botani Perdana, di sini pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam ucapan tersebut juga, turut diumumkan, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) akan meneruskan inisiatif pembiayaan kursus yang bertemakan pembangunan keluarga dan keibubapaan kepada pekerja menggunakan caruman levi majikan.
Tawaran tersebut dibuka sepanjang November tahun ini.
Sambutan BKK 2024 bertemakan 'KASIH Keluarga, Jiwa MADANI' yang berlangsung sehingga Ahad (hari ini), turut dimeriahkan dengan acara 'KASIH Family Fun Run' yang disertai oleh 2,000 ahli keluarga, serta Karnival Keluarga yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik antaranya, Rumah KASIH MADANI, Jualan Agro MADANI, aktiviti perkelahan dan sukan keluarga serta permainan kanak-kanak Supaa Doopa.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; Timbalan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Dr Maziah Che Yusoff; Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim; dan Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah.
Dalam pada itu, Nancy berkata, KPWKM melalui LPPKN memperkenalkan konsep Rumah KASIH MADANI yang mengetengahkan agenda keluarga yang kukuh sebagai elemen teras dalam membina sebuah negara Malaysia MADANI.
Katanya, ia melibatkan empat program khusus iaitu Program Pra-perkahwinan SMARTSTART 2.0, Program KASIH Keibubapaan Digital, Program Kem Naungan KASIH dan Program KASIH Keluarga Ceria.
"KPWKM yakin empat program khusus ini dapat membantu mengukuhkan pembentukan keluarga yang sejahtera, berdaya tahan dan berperibadi mulia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,"katanya.
Sementara itu, KPWKM turut memperkenalkan Anugerah Mesra Keluarga sempena NBKK 2024, menyaksikan dua kategori iaitu Sektor Korporat diberikan kepada Telekom Malaysia, dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dianugerahkan kepada Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ).
Ia sebagai pengiktirafan dan galakan kepada sektor korporat dan pihak berkuasa tempatan yang menyokong usaha memperkenalkan polisi dan program mesra keluarga bukan sahaja di tempat kerja malah memperbanyak aktiviti seumpamanya di peringkat komuniti setempat.
REAKSI:
"Ini kali pertama saya sertai program Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK). Memang bagus sebab dapat menghimpunkan orang ramai, bukan senang nak tengok ramai keluarga datang begini. Jadi, Insya-ALLAH saya akan sertai lagi BKK akan datang bersama keluarga." Kakitangan kerajaan, Mohiddeen Abdul Kadir Jalani, 39
"Saya dan suami datang untuk sertai Fun Run, tak tahu ada acara sambutan besar begini. Memang bagus bila satu keluarga datang, boleh luangkan masa bersama, dalam masa sama boleh amalkan gaya hidup sihat. Pengisian sambutan pun bagus, banyak aktiviti boleh disertai keluarga. Cuma akan datang harap lebih banyak khemah disediakan jadi keluarga yang ada anak-anak kecil dapat tunggu sampai habis acara dengan lebih selesa." Eksekutif kewangan, Siti Nor Azira Binti Muslim, 26
"Pilihan lokasi tahun ini sangat baik. Memang tempat riadah orang ramai. Jadi sambutan begini sangat sesuai bawa keluarga. Ada banyak jualan, boleh beli dengan harga yang murah. Bagi mereka yang tak pernah sertai acara sambutan begini, inilah masanya untuk bawa keluarga bersama. Berbaloi luangkan masa di program begini sebab penuh dengan pelbagai aktiviti." Kakitangan kerajaan, Chong Chai Yun, 37
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!