PRN Sabah: BN nafi Sabah dijadikan tikus makmal
PAPAR - Barisan Nasional (BN) Sabah menafikan negeri ini dijadikan 'tikus ujian makmal' bagi menguji kerjasama parti itu dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, dakwaan itu timbul disebabkan ketidakfahaman mengenai maksud sebenar istilah 'makmal' dalam konteks kerjasama BN-PH di Sabah.
Katanya, kerjasama BN-PH juga bukan baharu, sebaliknya sudah berlaku dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) di Semenanjung dan kini mahu diteruskan pada PRN Sabah.
"Dia sebenarnya tidak faham sebab kerjasama BN-PH ini bukan baru berlaku, ia sudah berlaku dalam empat, lima PRK dan di mana Sabah bukan bidan terjun sebagai ujian tikus makmal.
"Ia adalah satu kesefahaman bagi memastikan kerajaan kita stabil tidak kira di mana saja. Jadi tidak akan di Sabah, UMNO, BN dan PH berlaga.
"Sudah tentu, ia akan menjurus ke arah kestabilan politik dan yang jelas saya selaku pemimpin UMNO di Sabah, saya orang Sabah, kenapa pula saya mahu memalukan orang Sabah yang membawa BN ini saya," katanya kepada pemberita pada Program Gerak17 UMNO Sabah bagi kawasan Pantai Manis, di sini, pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun pada Sabtu yang tidak bersetuju Sabah dijadikan makmal ujian kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya.
Jelas Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, maksud sebenar Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berhubung Sabah sebagai makmal ujian kerjasama BN-PH adalah menjurus kepada strategi politik kedua-dua parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
"Saya tidak tahu kenapa Masidi kata memalukan rakyat Sabah, seolah-olah rakyat Sabah ini dijadikan tikus ujian makmal. Bagi saya itu kenyataan orang yang tidak faham berpolitik sebab politik ini perlu ada strategi.
"Strategi pula ada yang perlu dibentang untuk jadi pengetahuan orang ramai dan ada strategi yang orang ramai tidak perlu tahu.
"Jadi, strategi BN dan PH adalah untuk bekerjasama. Kalau dia (GRS) berhasrat bekerjasama, dia boleh masuk, tapi kena ada keikhlasan. Kalau tidak ikhlas, mengkhianati juga tidak payahlah masuk, bertanding sendirilah," katanya.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berpendapat, berdasarkan kenyataan Masidi, niatnya adalah untuk mengelak daripada berlaku pertembungan di antara GRS dengan BN-PH pada PRN17.
"Sebab bagi dia, dia mahu PH bergaduh dengan BN, tapi ia tidak masuk akal. Mana boleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bergaduh pasal satu negeri, adakah mereka rela kehilangan negara disebabkan satu negeri, sudah tentu tidak.
"Jadi, saya melihat kenyataan (Masidi) itu sebagai kenyataan orang yang kecewa dan mungkin juga faktor usia. Jadi saya nasihatkan Masidi supaya bersaralah," katanya.
Masidi sebelum ini dilaporkan berkata, menganggap seolah-olah menjadikan Sabah sebagai tikus makmal seperti merendah atau memalukan rakyat negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!