Cubaan seludup 13,000 kg gula, 5,100 peket minyak masak gagal
TUMPAT - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan menyeludup 13,000 kilogram (kg) gula dan 5,100 peket minyak masak dalam kejadian berasingan menerusi Op Taring Wawasan di Wakaf Bharu di sini pada Ahad.
Dalam operasi itu, PGA turut menahan tiga lelaki berusia antara 24 hingga 56 tahun yang dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup barangan kawalan tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tangkapan dan rampasan pertama dilakukan pada jam 5 petang selepas anggota bertugas menahan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 13,000 kg gula bernilai RM40,285.20 yang ditemukan dalam lori berkenaan tidak mempunyai dokumen sah.
"Suspek berusia 26 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup gula tersebut ke negara jiran," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menurut beliau, sejam kemudian anggota sekali lagi berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak masak di lokasi yang sama.
Ujarnya, tangkapan dan rampasan dilakukan pada jam 6 petang selepas menahan sebuah lori jenis Daihatsu dan van jenis Toyota Hiace dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.
"Hasil pemeriksaan mendapati 300 kotak yang mengandungi 5,100 peket minyak masak ditemukan di dalam kenderaan tersebut tidak mempunyai dokumen yang sah.
"Kita turut menahan dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 56 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup minyak masak tersebut ke negara jiran," katanya.
Menurut beliau, anggaran nilai rampasan minyak masak bernilai RM 12,750.
Tambahnya, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan suspek serta barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!