Lebih 4,000 pelancong dijangka masuk Melaka melalui jalan laut setiap minggu

Sebahagian pelancong yang datang menaiki kapal persiar mewah pada Isnin diraikan.
Sebahagian pelancong yang datang menaiki kapal persiar mewah pada Isnin diraikan.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka menjangkakan lebih 4,000 pelancong masuk ke negeri ini pada Isnin setiap minggu melalui jalan laut dengan adanya pelayaran kapal persiar mewah, Genting Dream Cruise.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ini merupakan pelayaran sulung mereka ke Melaka bermula hari ini dengan sebanyak 52 pelayaran setahun sekali gus memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan negeri ini.

"Kapal persiar mewah ini membawa nisbah cukup besar umpama 10 buah pesawat 380.

"Mereka memilih Melaka sebagai destinasi persinggahan dan akan menjadikan Melaka sebagai pilihan utama pelancong bagi yang meminati kaedah pelancongan kapal persiar ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ketibaan Kapal Persiaran Genting Dream di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka di sini pada Isnin.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad dan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, pemain industri perlu bersiap sedia menyambut dan meraikan pelancong yang tiba dengan kapal persiar ini pada setiap minggu.

"Raikanlah mereka dengan sebaik-baiknya kerana kita membawa dunia datang ke Melaka dan industri pelancongan akan berkembang pesat," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, program yang mencipta sejarah negeri ini menerima kehadiran seramai 3,881 penumpang Genting Dream Cruise dari Harbour Bay Singapura

Ketibaan mereka di Kompleks ICQS kira-kira jam 8.40 pagi diketuai Ab Rauf sebelum disambut meriah dengan paluan kompang dan gendang, selain persembahan kebudayaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!