[VIDEO] PRN Sabah: Bung Moktar tegas tolak kerjasama dengan GRS
PAPAR - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tegas dengan pendiriannya untuk menolak bekerjasama semula dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, walaupun kemungkinan untuk BN, Pakatan Harapan (PH) Sabah serta GRS berkerjasama bersama namun beliau berpendirian untuk menolak kerjasama itu.
"Kemungkinan itu ada, tapi kalau tanya saya, saya tidak akan melakukannya sebab terlalu perit untuk orang yang telah sembelih (mengkhianati) kita, kita nak layan lagi berat. Kita tidur-tidur lagi dia sembelih lagi kita.
"Kerjasama hanya dengan BN-PH dan parti-parti lokal yang lain yang berminat, tetapi bukan GRS," katanya kepada pemberita pada Program Gerak17 UMNO Sabah bagi kawasan Pantai Manis di sini, pada Ahad.
Ditanya sama ada UMNO Sabah mempunyai autonomi untuk menentukan sendiri dengan siapa parti itu akan berkerjasama, beliau yakin mereka mempunyai autonomi tersebut walaupun presidennya mengatakan akan ada kemungkinan wujud kerjasama BN, PN Sabah dan GRS.
"Insya-ALLAH kita akan ada (autonomi). Kemungkinan itu memang berkemungkinan (kerjasama) tetapi kemungkinan itu tidak mungkin, mungkin tidak berlaku, berkemungkinan juga tidak (akan berlaku).
"Insya-ALLAH kita akan tentukan (kerjasama)," katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag menegaskan bahawa kerusi DUN milik BN yang dipinjam harus dikembalikan kepada parti itu.
"Bukan saja kerusi Pantai Manis, tapi (DUN) Kawang ini sebenarnya dulu pun UMNO punya, cuma kita pinjamkan disebabkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika itu berhadapan dengan Parti Warisan (Warisan).
"Jadi suasana politik sudah berubah, barang dipinjam perlu dikembalikan. Jadi kalau tidak dikembalikan, terpaksa kita minta daripada rakyatlah," katanya.
Tambah beliau lagi, ada banyak kerusi DUN milik BN sebelum ini yang dipinjamkan dan akan diambil semula dalam PRN akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!