MAB beli pesawat baharu tingkat keyakinan penumpang

Hasbi
Hasbi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines Berhad (MAB) telah melaksanakan proses perolehan pesawat baharu sebagai strategi meningkatkan keyakinan penumpang terhadap syarikat penerbangan berkenaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, inisiatif itu bagi memastikan ketersediaan pesawat mencukupi untuk memenuhi keperluan penerbangan yang telah dijadualkan.

"Berdasarkan audit terkini CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia) ke atas syarikat MAB, tempoh pembaharuan Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) akan dikurangkan daripada tiga tahun kepada satu tahun bermula 1 September 2024 hingga 31 Ogos 2025.

"Syarikat penerbangan perlu melalui proses pengauditan yang lebih kerap sebelum AOC diperbaharui bagi memastikan MAB lebih peka dan mengambil tindakan penambahbaikan sewajarnya sebagai mana pelan mitigasi yang telah dikemukakan CAAM," katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai langkah yang sedang diambil Kementerian Pengangkutan bagi mengatasi semua masalah dihadapi Malaysia Airlines (MAS).

Dalam pada itu, Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang menegaskan, CAAM akan meneruskan pemantauan dan menjalankan pengauditan keselamatan terhadap semua pesawat yang dimiliki syarikat penerbangan yang beroperasi dalam negara.

Tindakan itu menurutnya bagi memastikan aspek keselamatan dan perihal selamat dipatuhi sewajarnya.

"Kerajaan tidak akan berkompromi dalam perkara melibatkan keselamatan penumpang penerbangan.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan melalui Perdana Menteri telah menyatakan komitmen untuk memastikan kejayaan syarikat MAB kerana ia merupakan syarikat penerbangan nasional dan harus kembali sebagai syarikat penerbangan utama negara," ujarnya.

Sementara itu beliau memaklumkan, sejak pengumuman MAB untuk mengurangkan rangkaian penerbangan pada hujung Ogos lalu, tindakan tersebut telah menunjukkan hasil positif terhadap hasil laporan 'On-Time Performance' (OTP) syarikat berkenaan.

Beliau berkata, OTP MAB telah meningkat dari 58.2 peratus pada Ogos kepada lebih 80 peratus pada Oktober 2024.

"Antara strategi bagi memulihkan keyakinan penumpang terhadap MAB adalah berdasarkan kepada hasil laporan OTP Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!