'Rakyat Terengganu perlu ubah sikap jika mahu jadi negeri terbersih'
KUALA NERUS - Rakyat Terengganu perlu mengubah sikap dan mentaliti untuk tidak membuang sampah di merata-rata tempat jika mahu negeri itu menjadi negeri terbersih sekali gus mampu menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara.
Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Terengganu, Datuk Ts Mohd Faiz Zulkifli berkata, usaha menjaga kebersihan alam sekitar tidak hanya tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebaliknya menjadi tanggungjawab yang perlu dipikul bersama.
"Kuala Terengganu antara 10 bandar di negara ini yang pernah menerima anugerah Standard Bandar Pelancong Bersih ASEAN pada Majlis Anugerah Standard Pelancongan ASEAN bagi tempoh 2022 hingga 2024.
"Jadi, pencapaian ini harus dikekalkan dan ditambah baik dengan mengubah sikap masing-masing serta memperbanyakkan aktiviti gotong-royong di semua peringkat dan kawasan," katanya kepada Sinar Harian .
Beliau sebelum itu menyempurnakan Program Kelestarian Alam Sekitar: Jom Bersih Pantai Bersama Pengguna 2024 di Pantai Tok Jembal di sini pada Sabtu.
Program disertai lebih 200 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat itu berjaya mengumpul lebih 300 kilogram (kg) sampah di sepanjang kawasan pantai.
Menurut Mohd Faiz, inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan membudayakan amalan menjaga kebersihan pantai terutama dalam kalangan warga komuniti.
"Pantai yang bersih bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti setempat bahkan dapat membantu mengekalkan ekosistem marin yang sihat serta memelihara keindahan alam semula jadi untuk generasi akan datang.
"Usaha ini bukan sahaja bertujuan untuk membersihkan kawasan pantai, tetapi juga untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan tanggungjawab kita bersama sebagai pengguna yang prihatin terhadap kelestarian alam," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha badan bukan kerajaan (NGO) lain yang tidak pernah jemu mengadakan aktiviti kutipan sampah setiap hari.
Katanya, pihaknya juga berhasrat untuk menjadikan aktiviti kutipan sampah sebagai acara tahunan dengan melibatkan lebih ramai peserta.
"Usaha NGO lain yang bersama-sama berusaha dalam kempen kebersihan untuk negeri Terengganu amat dihargai.
"Kita harap program sebegini memberi inspirasi kepada orang ramai untuk terus menjaga kebersihan pantai dan kawasan persekitaran lain secara berterusan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!