[VIDEO] Takiyuddin tuntut Azalina perjelas berkaitan Lembaga Pengampunan

A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pembangkang menuntut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membuat penjelasan di Dewan Rakyat berhubung kenyataan mengelirukan mengenai sekretariat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) ketika bangkit dengan peraturan 36 (12) menjelaskan, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang membuat kenyataan tidak berfakta dan mengelirukan kerana menyatakan menteri bertanggungjawab dalam sekretariat Lembaga Pengampunan membabitkan kes Datuk Seri Najib Razak adalah Menteri Wilayah.

"Umum mengetahui, kenyataan media Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 pada Februari 2024 yang mana kandungannya dibuat Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, yang jadi sekretariat kepada Lembaga Pengampunan iaitu di bawah kementerian undang-undang

"Bagi saya menteri undang-undang (Azalina) mengelirukan Dewan (Rakyat) dan ia adalah penghinaan kepada majlis.

"Saya nak dewan ini menetapkan menteri untuk menjaga integriti dia dan dewan, sekurang-kurangnya menjelaskan perkara yang sama bahawa sekretariat kepada Lembaga Pengampunan Kuala Lumpur, Labuah dan Putrajaya adalah BHEUU, bukan Kementerian Wilayah," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Azalina, Takiyuddin
Azalina, Takiyuddin

Ketika sidang Dewan Rakyat pada 6 November lalu, Azalina menegaskan beliau tidak terlibat dalam Lembaga Pengampunan ekoran menteri bertanggungjawab dan sekretariat kepada kes Yang di-Pertuan Agong adalah Menteri Wilayah.

Rentetan itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut dilapor menegaskan, titah adendum yang didakwa dititah Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas Perdana Meneteri itu menjalani hukuman penjara sebagai tahanan di rumah hanyalah khabar angin.

Artikel Berkaitan:

Malah beliau menjelaskan, mahkamah juga anggap adendum itu sebagai khabar angin dan perkara itu muktamad.

Johari
Johari

Sementara itu Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta Takiyuddin menulis kepada beliau berhubung permintaannya yang menuntut Azalina membuat penjelasan di Dewan Rakyat.

"Oleh kerana afidavit tidak cukup, saya minta Kota Bharu tulis kepada saya, sertakan apa yang nak dikatakan dan hasrat dalam usul tersebut, saya akan proses dari situ," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!