Belanja sakan guna duit warga emas, tiga sahabat didenda RM5,000
KUALA PILAH - Padah belanja sakan menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) milik seorang warga emas bulan lalu, tiga sahabat didenda RM5,000 setiap seorang di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.
Tertuduh, Nur Azlina Abdullah, 23, Nur Natra Nabila Mohd Zahidi, 21, dan Muhammad Sharul Azmeer Mohd Sani, 24, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Mahkamah turut menetapkan hukuman tujuh bulan penjara sekiranya kesemua tertuduh gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, mereka bersama-sama didapati dengan curangnya menyimpan harta curi iaitu sekeping kad MyDebit milik seorang wanita berusia 83 tahun di mana tertuduh ada sebab untuk mempercayai bahawa harta tersebut adalah harta curi.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 29 Oktober lalu, kira-kira jam 11.10 malam di Jalan Chengkau Astana Raja, Rembau.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainudin manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfazrin Jamal.
Mengikut fakta kes, anak wanita warga emas itu menyedari kad ATM ibunya hilang selepas mendapat mesej yang memaklumkan terdapat pelbagai transaksi daripada kad tersebut sebelum membuat laporan polis.
Hasil siasatan mendapati kad ATM milik pengadu telah dijumpai di sebuah rumah salah seorang tertuduh di Rembau bersama resit lain.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh telah menggunakan duit wanita itu untuk tujuan peribadi iaitu membeli emas bernilai RM940, membeli minuman di sebuah kedai minuman francais RM33.30 dan menempah hotel di Rembau dengan harga RM80.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!