Remaja maut rempuh kereta langgar lampu isyarat merah dipandu pelajar
MELAKA - Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal yang ditunggang merempuh sebuah kereta dipandu pelajar perempuan di persimpangan Klebang Utama di sini, awal pagi Isnin.
Kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu menyebabkan mangsa yang berusia 18 tahun dan bekerja sebagai pembantu peniaga trak makanan di Dataran Klebang di meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha dalam perjalanan dari arah bulatan Klebang menuju ke arah Limbongan.
Menurutnya, namun setiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipandu pelajar berusia 17 tahun itu dari arah Klebang Utama ke bulatan Klebang dipercayai telah melanggar lampu isyarat merah.
"Mangsa dari arah bulatan Klebang bagaimanapun gagal mengelak kereta tersebut.
"Mangsa kemudian merempuh di bahagian kanan pemandu kereta sebelum dia tercampak dan mengalami kecederaan parah di kepala," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Tambahnya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai lesen memandu.
Ujarnya, mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian sebelum jenazahnya dituntut waris keluarga.
"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!