[VIDEO] PRN Sabah: Parti Impian Sabah boleh jadi parti dominan

A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Impian Sabah (PIS) yakin parti itu boleh menjadi sebuah parti yang dominan memerintah Sabah jika berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) nanti.

Presidennya, Michel Alok berkata, parti itu akan bergerak solo sekali gus meletakkan calon di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dalam pilihan raya tersebut.

"Boleh (jadi dominan). Sebenarnya saya percaya rakyat hari ini sudah sedar bahawa gabungan ini bukan satu gabungan yang boleh membawa kebaikan. Hari ini perebutan kuasa atau jawatan dalam kerajaan berlaku.

"Contohnya perebutan jawatan ketua kampung ini menjadi satu masalah kerana terlalu ramai gabungan itu. Saya percaya gabungan ini tidak baik dan dalam masa sama kestabilan politik di Sabah ini bukan gabungan sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis makan malam amal di sini pada malam Ahad.

Michel ketika ditemui kepada pemberita selepas hadir pada majlis makan malam amal di sini pada malam Ahad.
Michel ketika ditemui kepada pemberita selepas hadir pada majlis makan malam amal di sini pada malam Ahad.

Jelas beliau lagi, kestabilan politik harus diberi mandat kepada satu parti yang akan memenangi pilihan raya tersebut.

"Kalau satu parti saja yang menang dan memerintah sudah pasti dalam tempoh lima tahun tidak ada lagi pilihan raya akan datang.

"Sebab Akta Lompat Parti, kalau mereka keluar mereka automatik kehilangan kerusi tetapi kalau dalam gabungan, contohnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini parti gabungan semua, sekiranya kalau ada dua atau tiga parti yang akan keluar, masih boleh terjadi satu pilihan raya lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai hala tuju parti yang baru diwujudkan pada tahun lalu, Michel berkata, PIS ditubuhkan bagi menunjukkan kelainan yang ada berbanding parti lain, seterusnya memenangi pilihan raya.

"Saya ingin menunjukkan kepada mereka, hari ini orang kata politik itu kotor. Saya kata salah, politik itu tidak kotor. Tapi pemimpinnya yang menyebabkannya kotor.

"Kita ikhlas dalam perjuangan. Kami parti baharu, masih bersih dan belum lagi berjanji dan berbohong," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi supaya memberi mereka peluang dalam pilihan raya akan datang dan pasukannya akan bergerak ke seluruh kawasan bagi menerangkan misi dan visi supaya PIS lebih dikenali rakyat Sabah.

"Kita ada misi, bagaimana menyelesaikan masalah ini dan kita juga menunjukkan kepada mereka kelainan di dalam parti ini dan sebab itu saya kata beri peluang kepada parti yang baru ini.

"Saya percaya di luar sana sudah memahami, saya katakan begini kenapa kita terus membenarkan pemimpin dan parti yang sudah berjanji berkali-kali tetapi tidak menunaikannya.

"Kenapa tidak beri peluang kepada yang belum berjanji, yang belum lagi berbohong. Bagi peluang dan saya percaya, pengundi di luar sana akan memberi peluang kepada parti seperti ini," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!