Malaysia akan pantau dasar ekonomi baharu Amerika Syarikat
GEORGE TOWN - Malaysia akan memantau dasar ekonomi baharu yang akan diperkenalkan oleh Kabinet baharu Amerika Syarikat setelah kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden di negara itu baru-baru ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, polisi-polisi yang bakal diperkenalkan diharap dapat merangsang ekonomi global.
"Malaysia mengucapkan tahniah kepada beliau (Trump) yang menang pilihan raya di Amerika Syarikat baru-baru ini, tapi peralihan kuasa ini akan berlaku pada Januari tahun depan.
"Ketika ini, beliau sedang membina barisan Kabinetnya. Mengenai polisi-polisi baharu yang akan dikeluarkan oleh Amerika Syarikat, kita berharap ia akan terus merancakkan ekonomi dunia.
"Malaysia adalah ekonomi yang amat diversified dan kita yakin akan dapat terus menjana (pertumbuhan) yang kuat," katanya pada Persidangan Market Outlook Propelling Malaysia Forward Penang di sini pada Isnin.
Pada 6 November lalu, Donald Trump mengisytiharkan kemenangannya selepas beliau mendahului keputusan awal Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024.
Calon Parti Republikan (GOP) menerusi ucapannya di parti kempen di Florida menyifatkan rakyat negara itu bakal menyambut ketibaan 'zaman keemasan baharu'.
Dalam pada itu, Amir Hamzah memaklumkan bahawa ekonomi Malaysia kini stabil dengan purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia 5.1 peratus pada sembilan bulan pertama tahun ini.
"Kedudukan inflasi juga terkawal pada 1.8 peratus dan kadar pengangguran menurun kepada 3.2 peratus pada bulan September.
"Usaha kerajaan untuk menarik pelabur juga berjaya meningkatkan aktiviti pelaburan dan mengukuhkan ekonomi. Kita berharap usaha ini akan terus membuahkan hasil dan kita nampak ada sokongan yang mana ia (pertumbuhan) akan berterusan ke tahun hadapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!