'Saya sangka kes arwah anak yang terakhir' - Bapa Allahyarham Zulfarhan
KUALA LUMPUR - Bapa kepada Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idros kecewa kerana masih ada kes buli di universiti berkenaan.
Zulkarnain berkata, beliau sedih kejadian yang pernah berlaku terhadap anaknya masih berulang kepada penuntut lain.
"Saya sangka kes arwah anak yang terakhir, rupa-rupanya masih ada lagi kes lain yang berlaku di UPNM," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berkaitan kes penuntut tahun satu UPNM yang cedera dipercayai dibuli.
Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, perlu ada perancangan jangka panjang untuk mengatasi isu buli.
"Ia tidak boleh dilaksanakan dengan tindakan serta-merta," ujarnya.
Beliau berkata, sebagai contoh pengetua atau guru perlu diberi kuasa untuk melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin di sekolah.
"Hukuman merotan itu tidak perlu sampai mencederakan, ia sekadar pengajaran dan mendisiplinkan diri pelajar.
"Tindakan itu diharapkan dapat meningkatkan disiplin pelajar agar kejadian buli tidak berulang di asrama kolej atau universiti," katanya.
Zulkarnain turut mencadangkan kerajaan perlu segera mewujudkan akta khusus berkaitan kes buli.
"Akta khusus itu boleh mencegah kes buli," ujarnya.
Pada 1 Jun 2017, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.
Terbaharu, satu lagi kejadian buli berlaku membabitkan penuntut tahun satu UPNM, mangsa mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang dipercayai dipijak penuntut senior.
Kejadian itu berlaku pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang penuntut universiti yang sama melecur di badan akibat ditekap dengan seterika oleh penuntut senior.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, lelaki berusia 19 tahun itu mengalami kecederaan akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga, di universiti berkenaan.
"Setakat ini, sembilan individu telah dirakam percakapan manakala suspek pula dijangka tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada petang ini untuk dirakam keterangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!