Kakitangan sokongan KDN FC dakwa sudah tujuh bulan tidak dibayar gaji
KAKITANGAN sokongan pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) terpaksa 'menebalkan' muka untuk meminjam wang bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas mendakwa gaji mereka tidak dibayar sejak tujuh bulan lalu.
Sumber mendakwa, walaupun tindakan itu amat memalukan, mereka tidak mempunyai pilihan kerana situasi semakin mendesak.
"Tujuh bulan kakitangan bekerja tanpa dibayar satu sen pun. Pendedahan ini dibuat selepas dah hilang sabar dengan sikap pihak pengurusan yang seolah-olah lepas tangan.
"Bagi mereka, mungkin satu rahmat apabila kakitangan sokongan masih lagi meneruskan kerja walaupun tidak dibayar, namun bagi saya, tindakan ini zalim.
"Pengurusan tidak sepatutnya lepas tangan. Kalau sebulan dua, boleh terima...ini tujuh bulan. Ingat kakitangan sokongan ini bekerja secara percuma?" kata sumber kepada Sinar Harian.
Menurut sumber, lebih menyedihkan ada dalam kalangan kakitangan terpaksa menggunakan wang syiling untuk mengisi minyak motosikal disebabkan oleh tunggakan gaji itu.
Ujarnya, bukan itu sahaja, ada juga yang terpaksa menyorokkan kenderaan mereka disebabkan bayaran bulanan tertunggak.
"Pengurusan KDN FC dilihat lebih menjaga kebajikan pemain Liga Super kerana mereka tidak berdepan masalah gaji, tapi membiarkan kakitangan sokongan yang merupakan tulang belakang pasukan terkapai-kapai tanpa pembelaan," katanya.
Sumber memberitahu, kakitangan terbabit sebelum ini pernah menyuarakan perkara tersebut kepada pihak pengurusan namun mereka memberitahu dalam tindakan.
Ujarnya, lebih memburukkan lagi situasi majikan turut didakwa tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) walaupun pemotongan bayaran itu jelas tertera dalam slip gaji sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!