Dakwaan kes rasuah libat ADUN, Lip Eng minta pemberi maklumat hubunginya

Lip Eng
Lip Eng
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng meminta pemberi maklumat kes rasuah didakwa mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menghubunginya sebelum sidang Parlimen berakhir pada pertengahan Disember depan.

Beliau berkata, bantuan itu dihulur memandangkan pemberi maklumat yang mempunyai informasi penting memohon perlindungan penuh sebelum memfailkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun agensi terbabit memberitahu tiada jaminan imuniti bertulis sama ada akan disiasat, didakwa atau sebaliknya.

"Skandal rakaman video melibatkan beberapa ADUN didakwa terima sejumlah wang sebagai balasan untuk projek negeri telah mewujudkan situasi 'Catch-22'.

"Pendedahan ini menggemparkan negara dan menarik minat ahli politik dari kedua-dua belah pihak untuk mengetahui identiti individu yang terlibat.

"Saya bersedia mengemukakan bukti dan mendedahkan nama yang terlibat di Parlimen serta mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat kira-kira lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit dipercayai sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang aduan rasmi mengenai perkara berkenaan.

Bagaimanapun, tegas beliau, pemberi maklumat perlu membuat laporan rasmi kepada SPRM bagi memulakan sebarang proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!