Kakak angkat, kekasih remaja terjatuh tingkat 16 dibebaskan
GEORGE TOWN - Kakak angkat dan teman lelaki kepada remaja yang maut terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Farlim, Bandar Baru di sini telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, kedua-duanya yang berusia 18 dan 19 tahun dibebaskan pada 12 tengah malam, Isnin.
"Ya, mereka sudah diberi jaminan polis dan dibebaskan sementara menunggu laporan patologi.
"Keterangan telah dirakam daripada kedua-dua remaja tersebut," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata, hasil bedah siasat terhadap mayat remaja berusia 15 tahun itu sudah selesai pada Ahad.
"Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian mangsa adalah pelbagai kecederaan konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi," katanya lagi.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Farlim di sini pada Sabtu.
Mayat remaja berkenaan ditemui orang awam kira-kira jam 11.45 malam sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Susulan daripada itu, polis menahan teman lelaki dan kakak angkat kepada mangsa untuk siasatan lanjut.
Tangkapan dibuat selepas ujian saringan air kencing terhadap kedua-duanya individu berkenaan didapati positif dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!