Keliru jalan punca treler dipandu lawan arus
PAPAR - Keliru dengan simpang masuk laluan punca seorang pemandu treler memandu di jalan berlawanan arah di Kilometer 8 Jalan Pan Borneo-Kinarut di sini, pada Jumaat lalu.
Tindakan lelaki berusia 38 tahun itu yang dilihat berbahaya turut tular di media sosial menerusi satu video yang memaparkan kenderaan berat yang dipandunya berada di laluan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan terkesan dengan video yang tular itu sebelum siasatan dilakukan bagi mengesan pemandu terlibat.
Katanya, treler itu berjaya dikesan berhampiran Pekan Papar dan pemandunya turut ditahan serta dibawa ke IPD Papar untuk siasatan lanjut, kira-kira jam 10 pagi Isnin.
"Hasil siasatan awal mendapati pemandu menyatakan kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi 8 November lalu semasa dia memandu dari arah Nagapas menuju ke Kota Kinabalu.
"Sebaik tiba di lokasi, pemandu tersilap jalan kerana keliru simpang jalan dan masuk aliran trafik kira-kira 20 meter," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Katanya lagi, susulan kejadian itu pemandu mengambil tindakan dan terus mengundur kenderaan terbabit untuk masuk ke laluan asal.
"Dalam kejadian ini, tiada kemalangan yang dilaporkan namun kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Sebelum itu, dalam rakaman video berdurasi 54 saat memaparkan detik cemas seorang pemandu yang terpaksa beralih ke lorong kiri selepas treler tersebut datang dari hadapan walaupun laluan berkembar tersebut jalan sehala.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!