'Saya hanya snorkeling bukan DSD di Pulau Sipadan' - Vida
KOTA BHARU - "Saya hanya snorkeling (selam paras permukaan), bukan Discovery Scuba Diving," demikian jelas usahawan kosmetik terkenal tanah air, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali Datuk Seri Vida (DSV).
Sebelum itu satu hantaran video tular memaparkan DSV bersama anak lelakinya yang dikenali sebagai Kacak dipercayai melakukan aktiviti air di Pulau Sipadan, Semporna, Sabah.
Menurutnya, beliau mengetahui peraturan di kawasan itu hanya membenarkan individu mempunyai lesen Advanced Open Water (AOW) untuk menjalankan aktiviti tersebut.
DSV memberitahu, beliau masuk ke kawasan berkenaan atas urusan perniagaan dan bukan untuk bersuka ria.
"Saya mohon maaf, jika perkara ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan sesetengah pihak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan tindakan seorang usahawan kosmetik memasuki Pulau Sipadan di Semporna, yang ketika ini sedang ditutup mengundang persoalan dalam kalangan pemain industri selaman.
Difahamkan, usahawan wanita bergelar Datuk Seri itu dilihat berada di pulau berkenaan menerusi satu video yang tular sejak Sabtu lalu.
Pengerusi Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA), Suzimin Edris berkata, biasanya Pulau Sipadan ditutup selama sebulan untuk tujuan restolasi, namun terdapat seorang usahawan telah memasuki kawasan tersebut walaupun ia ditutup.
"Setiap tahun pulau ini akan ditutup bermula 1 hingga 30 November tetapi yang kami persoalkan sekarang, kenapa salah sebuah syarikat ini boleh masuk dan paling penting, kenapa mereka membuat selaman skuba di Pulau Sipadan sedangkan keperluan untuk selaman di Pulau Sipadan adalah 'Advanced Open Water' ke atas.
"Ketika pulau ini ditutup, kenapa usahawan tersebut boleh masuk, adakah dia dapat keistimewaan?" katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Susulan daripada itu, Suzimin meminta penjelasan daripada pihak berkaitan mengenai perkara tersebut.
Sementara itu, Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr Maklarin Lakim menjelaskan bahawa pihaknya memang dibenarkan menyelam semasa tempoh restorasi untuk pemantauan dan pemerhatian di bawah air.
Beliau berkata, kehadiran usahawan itu sebagai tetamu dan pelabur swasta TTS
dan ingin menyelam di pesisir pantai secara terhad.
"Ia bukan selaman komersil oleh pelancong, ia oleh tetamu TTS sendiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!