Faktor cuaca punca Rock Warrior Music Festival ditangguhkan
[DIKEMAS KINI] ACARA Rock Warrior Music Festival yang dijadualkan berlangsung 23 dan 24 Novemberi ini akan ditunda ke satu tarikh baharu sekitar Mei 2025.
Penganjur Datuk Eddy Amir Salim dari Rumah Produksi Merah Sdn Bhd berkata, penundaan itu terpaksa dibuat kerana mengambil kira ramalan cuaca yang menunjukkan kemungkinan hujan lebat dan risiko banjir.
"Berdasarkan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pada awal November 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025.
"Sebagai penganjur, keselamatan para peminat dan kelancaran festival adalah keutamaan kami. Selain daripada itu, kami juga berhasrat untuk menjaga sensitiviti terhadap masyarakat, khususnya mereka yang terkesan akibat bencana banjir," ujarnya.
Tambah Eddy Amir, penjadualan semula ke bulan Mei 2025 memberi pihaknya peluang untuk membuat persiapan yang lebih menyeluruh.
Malah bagi mereka yang sudah mendapatkan tiket, ia masih digunakan pada tarikh baharu nanti.
"Harapan kami, dapat menawarkan pengalaman festival yang lebih baik dan memuaskan dalam keadaan cuaca yang lebih sesuai.
"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul akibat penundaan ini dan mengucapkan terima kasih atas sokongan dan pemahaman yang diberikan.
Semua pembelian tiket yang telah dibuat akan tetap sah untuk tarikh baharu, dan kami akan mengemas kini maklumat lanjut di laman web serta platform media sosial kami," jelasnya.
Rock Warrior Music Festival bakal menampilkan kumpulan rock terkemuka tanah air seperti Wings, Search (Kid dan Din) serta XPDC.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!