Majikan beri alasan tidak tahu cara carum PERKESO untuk pekerja asing
KUALA LUMPUR - Tiada kesedaran dan tidak mengetahui cara untuk mendaftar antara alasan diberikan majikan yang gagal mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, Azirruan Arifin berkata, alasan itu dikesan menerusi Ops Kesan Pekerja Asing yang dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan tiada pekerja asing dipinggirkan daripada segi kebajikan dan hak sosial.
Menurutnya, penguatkuasaan ini bertindak memburu majikan yang gagal mendaftar dan mencarum pekerja asing termasuk ekspatriat dan pekerja domestik.
"Operasi ini tidak memfokuskan mana-mana sektor utama kerana semua perlu patuh peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
"Sepanjang operasi dilakukan, majikan ini memberi alasan tidak sedari keperluan untuk mencarum selain mendakwa tidak tahu proses mendaftar serta mencarum," katanya kepada pemberita selepas operasi di sekitar Chow Kit di sini pada Isnin.
Menerusi operasi bermula kira-kira jam 11 pagi itu, Azirruan telah 'menerjah' lima premis membabitkan kedai barang kosmetik dan perkakasan wanita serta pakaian.
Pemeriksaan mendapati kelima-lima premis ini tidak mencarum PERKESO melibatkan empat pekerja asing dan seorang tempatan sebelum tindakan notis kompauan dikenakan.
Setakat jam 1 petang, Ops Kesan Pekerja Asing di seluruh negara merekodkan pengeluaran 45 notis saman Akta 4 berjumlah RM28,000.
Mengulas lanjut, kata beliau, PERKESO sentiasa berpegang kukuh dengan prinsip perlindungan saksama tanpa diskriminasi, selaras dengan keperluan piawaian antarabangsa.
"Kami ingin memastikan semua pekerja di bawah naungan majikan di Malaysia sama ada warga tempatan atau asing menerima perlindungan keselamatan sosial yang sewajarnya.
"Setiap majikan perlu pikul tanggungjawab terhadap semua yang bekerja di dalam organisasi mereka," ujarnya.
Tegas beliau, menerusi operasi ini, majikan yang gagal atau lewat daftar perusahaan atau pekerja mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit salah.
1 November lalu, Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, statistik Ops Kesan sejak 2009 sehingga Oktober 2024, 24,801 notis kompaun berjumlah RM19.1 juta telah dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja manakala sebanyak 25,574 kes telah didakwa di atas pelbagai kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!