CIDB belanja lebih RM800 juta sedia latihan menerusi ABM, CIDB Tech

Alexander Nanta Linggi (dua kiri) ditemui pada Majlis Perasmian Tapak Latihan Kren Menara di Jenjarom di sini pada Isnin
Alexander Nanta Linggi (dua kiri) ditemui pada Majlis Perasmian Tapak Latihan Kren Menara di Jenjarom di sini pada Isnin
A
A
A

KUALA LANGAT - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membelanjakan lebih RM800 juta bagi menyediakan latihan dan penilaian kepada belia, personel binaan menerusi enam buah Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Technologies Sdn Bhd (CIDB Tech) di seluruh negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, CIDB juga telah membelanjakan lebih RM80 juta setakat tahun 2023 untuk pembangunan fasiliti.

Jelasnya, sejak tahun 2016, CIDB telah melabur dalam teknologi pembelajaran melalui penggunaan simulator canggih seperti 'mobile crane', 'excavator' dan 'welding'.

Alexander Nanta Linggi (dua kanan) ditemui pada Majlis Perasmian Tapak Latihan Kren Menara di Jenjarom di sini pada Isnin
Alexander Nanta Linggi (dua kanan) ditemui pada Majlis Perasmian Tapak Latihan Kren Menara di Jenjarom di sini pada Isnin

"Hasilnya, 60 peratus daripada latihan di ABM melibatkan elemen simulasi memberikan pengalaman praktikal secara langsung, membolehkan pelatih merasai sendiri operasi jentera sebenar.

"Pendekatan ini memastikan bahawa pelatih bukan sahaja memahami teori, tetapi juga mahir dalam aplikasi dunia nyata," ujarnya pada Majlis Perasmian Tapak Latihan Kren Menara ABM Wilayah Tengah di Jenjarom, di sini pada Isnin.

Program yang turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Datuk Imran Salim ini dilaksanakan menerusi kerjasama ABM dengan MRCB.

Alexander mengulas lanjut berkata, CIDB sebagai peneraju Pendidikan dan Latihan Kemahiran serta Vokasional (TVET) pembinaan amat menitikberatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berkualiti untuk industri pembinaan.

Artikel Berkaitan:

"Mewakili CIDB, saya ingin menjemput lebih ramai lagi pemain industri untuk berkolaborasi dengan kami sebagai rakan strategik dalam bidang-bidang TVET yang lain demi kemajuan industri pembinaan.

"Setakat ini, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan, CIDB telah bekerjasama dengan 18 penggiat industri, termasuk syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) serta syarikat tempatan dan antarabangsa," ujarnya.

Ujarnya lagi, langkah itu adalah usaha mempertingkatkan latihan kemahiran TVET.

Beliau menambah, melalui kerjasama ini, CIDB berusaha memastikan latihan yang ditawarkan adalah terkini, relevan dan sesuai dengan perkembangan serta keperluan industri semasa.

Dalam pada itu, ujarnya, kerajaan mensasarkan semua projek pembinaan di Malaysia 100 peratus dilaksanakan pekerja tempatan di masa depan, selaras salah satu sasaran Dasar Pembinaan Negara, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Alexander sehubungan itu berkata, kerjasama antara kerajaan, institusi TVET, dan industri mesti terus diperkukuhkan untuk memastikan program TVET sentiasa relevan.

"Penglibatan industri dalam program ini penting, terutama dalam pembangunan kurikulum dan peningkatan kemahiran tenaga pengajar.

"Dengan penglibatan pemain industri besar seperti Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), kita dapat memastikan latihan TVET sentiasa menepati standard industri," ujarnya.

Sebagai rekod, semenjak 2012 hingga 2024, ABM telah melatih 1,104 pelatih dalam operasi kren menara dengan 313 terdiri daripada belia dan 791 sebagai personel binaan yang menunjukkan komitmen CIDB dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan dalam sektor ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!