Cinta tidak berbalas punca dua beranak dibunuh di hadapan lif

Zulkifli Ibrahim dan anaknya, Siti Zulaila Zulkifli dibunuh di hadapan lif sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Bandar Baru Farlim di sini pada Khamis lalu.
Zulkifli Ibrahim dan anaknya, Siti Zulaila Zulkifli dibunuh di hadapan lif sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Bandar Baru Farlim di sini pada Khamis lalu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Cinta tidak berbalas merupakan punca dua beranak dibunuh di hadapan sebuah lif sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Bandar Baru Farlim di sini pada Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, suspek mempunyai perasaan terhadap mangsa, Siti Zulaila Zulkifli, 30, namun mangsa menolaknya.

Menurutnya, akibat tidak berpuas hati setelah cintanya ditolak, suspek bertindak menikam mangsa dan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62, sehingga mati dipercayai menggunakan senjata tajam.

"Suspek menaruh perasaan terhadap mangsa namun mangsa menolak. Mangsa tidak berminat dengan suspek," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Tambah Swee Sake, sebelum kejadian, suspek juga dikatakan melakukan ugutan bunuh terhadap keluarga mangsa di kediaman mereka di situ.

Jelasnya lagi, polis masih menunggu laporan ujian darah untuk mengetahui sama ada suspek positif dadah atau sebaliknya.

"Status ujian dadah belum disahkan kerana laporan ujian darah masih belum diterima. Suspek masih dirawat di Hospital Pulau Pinang dan masih dalam tahanan reman.

"Kertas siasatan masih belum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya. Kita masih ada masa lagi untuk melengkapkan siasatan," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Swee Sake berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Dalam kejadian pada petang Khamis, Siti Zulaila dan bapanya, Zulkifli maut selepas ditikam seorang lelaki di hadapan lif di sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Bandar Baru Farlim pada jam 12.54 tengah hari, Khamis lalu.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.

Suspek berusia 32 tahun yang mengalami kecederaan selepas mengelar dan menikam dirinya sendiri berjaya ditahan.

Suspek dilaporkan berada dalam keadaan stabil direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga 14 November ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!