Tiada kesalahan caj RM1 pelanggan guna bilik berhawa dingin - KPDN
KUALA LUMPUR - Sebuah restoran terkenal di Kampung Baru tidak melakukan sebarang kesalahan apabila mengenakan caj RM1 kepada pelanggan yang menggunakan bilik berhawa dingin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) memaklumkan, pemeriksaan mendapati, harga makanan, minuman serta caj perkhidmatan itu mematuhi dasar harga terangkum di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Menurutnya, pemerhatian anggota penguat kuasa juga mendapati notis caj RM1 itu dipamerkan dengan jelas di kawasan pintu masuk serta di cermin bilik berhawa dingin yang mudah dilihat oleh para pelanggan.
"Pekerja premis juga akan memberitahu terlebih dahulu kepada para pelanggan yang ingin masuk ke dalam bilik berhawa dingin berkenaan.
"Melalui keterangan pekerja restoran, caj tersebut telah dikenakan kepada pelanggan sejak tiga tahun lepas," katanya menerusi kenyataan.
Sebelum ini tular hantaran di aplikasi X berkaitan restoran nasi lemak yang terkenal dalam kalangan pelancong asing itu mengenakan caj RM1 bagi bilik makan yang berhawa dingin.
Susulan itu, KPDN WPKL telah ke lokasi restoran berkenaan untuk siasatan.
KPDN WPKL memaklumkan, caj perkhidmatan itu dikenakan kepada pelanggan dewasa yang menggunakan kemudahan itu manakala tiada caj kepada kanak-kanak berumur 10 tahun dan ke bawah.
Ujarnya, pihak restoran mengeluarkan resit kepada pelanggan yang menggunakan bilik tersebut sebagai bukti pembayaran.
Selain itu katanya, pemeriksaan mendapati pendingin hawa dalam bilik itu berfungsi dengan baik dan pelanggan yang ditemui memberitahu maklum tentang caj yang dikenakan.
"Pasukan penguat kuasa KPDN WPKL mendapati pematuhan tanda harga dan caj di restoran ini adalah jelas dan tiada kesalahan yang dikesan di bawah perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDN.
"Kami dimaklumkan pihak restoran telah mengambil tindakan sewajarnya dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan hantaran tular tersebut sebagai langkah menjaga nama baik restoran itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!