Pencemaran Sungai Lereh: Tindakan lebih tegas terhadap syarikat konsesi pelupusan sampah
MELAKA - Kerajaan negeri Melaka akan mengambil tindakan tegas terhadap kecuaian syarikat konsesi pengendali Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang yang didakwa menyebabkan pencemaran air di sungai berhampiran.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata, tindakan tegas itu diambil kerana syarikat terbabit berulang kali melakukan kesalahan sama meskipun telah dikompaun beberapa kali sebelum ini.
Menurutnya, ini termasuk memanjangkan isu itu kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tindakan lanjut memandang Melaka hanya terdapat satu tapak pelupusan sampah.
Malah katanya, apa yang membimbangkan situasi itu boleh memudaratkan rakyat sekiranya tidak diuruskan serta diselenggara dengan baik.
"Sebelum ini syarikat berkenaan telah dikenakan tindakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) selain diberikan notis dan denda kerana menjadi punca kepada isu pencemaran.
"Saya akan bawa perkara ini ke peringkat KPKT agar tindakan segera diambil dan menyerahkan sepenuhnya kepada kementerian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Malaysia Bagi Pengukuhan dan Peningkatan Hasil PBT Siri 2.0 di Banda Hilir di sini pada Isnin.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput turut mendakwa, beliau menemui aliran air tercemar yang dipercayai keluar dan berpunca dari tapak pelupusan itu susulan hujan lebat.
Ujarnya, disebabkan masalah pencemaran itu telah mengakibatkan puluhan pesawah dan penduduk sekitar yang menggunakan sumber air berkenaan terjejas.
"Kali ini kita berjaya mengambil sampel air tercemar dan saya sendiri menyaksikan air kotor mengalir ke sungai.
"Air kotor kehitaman ini masuk ke sungai-sungai kecil yang akhirnya menuju ke Sungai Lereh," katanya.
Rais pada Ahad bersama beberapa agensi termasuk BKSA dan JAS Melaka turun padang secara mengejut ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang bagi memeriksa punca pencemaran Sungai Lereh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!