Putrajaya perlu perhalusi diplomasi tangani krisis Myanmar, Laut China Selatan

Malaysia yang lantang berpotensi mengubah dinamik diplomasi dalam ASEAN, bagi mengubah status quo dalam isu perang saudara Myanmar yang meruncing dan pertikaian wilayah di Laut China Selatan. Foto fail Bernama
Malaysia yang lantang berpotensi mengubah dinamik diplomasi dalam ASEAN, bagi mengubah status quo dalam isu perang saudara Myanmar yang meruncing dan pertikaian wilayah di Laut China Selatan. Foto fail Bernama
A
A
A

PHNOM PENH - Malaysia perlu menonjolkan pengaruh diplomatik yang berkesan bagi menangani krisis serantau, sambil terus memegang teguh prinsip kemanusiaannya merentasi sempadan Asia Tenggara.

Mesej Malaysia di Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane bulan lepas, ketika negara ini mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2025 daripada Laos, adalah jelas - menyatukan suara yang berbeza dalam kalangan 10 negara anggota untuk terus mara ke hadapan.

Malaysia yang lantang berpotensi mengubah dinamik diplomasi dalam ASEAN, terutamanya memandangkan pengerusi-pengerusi sebelumnya, iaitu Kemboja, Indonesia, dan Laos, belum berjaya mengubah status quo dalam isu perang saudara Myanmar yang meruncing dan pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

Krisis-krisis ini memerlukan perhatian segera kerana konflik Myanmar mencetuskan bencana kemanusiaan besar, sementara pertikaian maritim menimbulkan ketegangan dalam kalangan negara anggota.

Kekacauan di Myanmar semakin meruncing sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang mendorong negara itu ke dalam kemelut politik.

Sementara itu, tuntutan China terhadap "Sembilan Garis Putus-putus ” di Laut China Selatan, yang kaya dengan sumber maritim, terus menjengkelkan negara-negara penuntut seperti Filipina, Malaysia, Vietnam, dan Brunei, tanpa sebarang penyelesaian konkrit.

Profesor Adjung Hal Ehwal Serantau dan Global Universiti Malaya, Datuk Dr Ilango Karuppanna, menegaskan perlunya strategi yang koheren untuk menangani cabaran kompleks yang ditimbulkan oleh krisis Laut China Selatan dan Myanmar.

"Pendirian Malaysia adalah jelas, iaitu bersama ASEAN, dan itu adalah prinsip panduannya. Dalam isu antarabangsa seperti Laut China Selatan, pendiriannya juga jelas. Negara-negara penuntut ASEAN mesti mencapai kedudukan bersama terlebih dahulu sebelum berunding dengan China.

Artikel Berkaitan:

Laut China Selatan adalah isu antara empat negara penuntut ASEAN dan China. Mereka boleh berbincang dalam kerangka ASEAN, dan Malaysia sebagai pengerusi akan datang mempunyai kuasa, lebih-lebih lagi juga sebagai negara penuntut.

Bagi Myanmar, penting untuk disedari bahawa terdapat dua isu besar. Satu berkaitan kenegaraan dan perkongsian kuasa antara pelbagai pihak berkepentingan, dan satu lagi ialah krisis kemanusiaan, melibatkan ribuan pelarian dari Myanmar dan komuniti Rohingya. Isu-isu ini perlu ditangani secara berasingan, bukan dicampur aduk,” kata Ilango, seorang bekas duta kepada Bernama dari Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang terkenal dengan keprihatinannya terhadap hal ehwal antarabangsa dan sebagai penyokong kepada Negara-Negara Selatan Global, akan berhadapan tekanan untuk memenuhi komitmen Malaysia dalam konteks serantau yang lebih luas.

Cabaran utama beliau adalah membina konsensus dalam kalangan anggota ASEAN terhadap isu-isu sensitif ini.

"ASEAN adalah satu cabaran kerana tidak semua anggotanya memiliki tahap keupayaan inovatif yang sama. Indonesia bersifat inovatif, begitu juga dengan Kemboja, tetapi apabila Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN, harapan masyarakat antarabangsa adalah untuk melakukan yang lebih baik,” kata bekas Duta India ke Indonesia, Gurjit Singh, kepada Bernama dari New Delhi.

"Malaysia, Indonesia, dan Singapura mempunyai pandangan berbeza terhadap Laut China Selatan, manakala negara CLV (Kemboja, Laos, Vietnam) pula berbeza dalam cara menangani isu Myanmar. ASEAN juga lambat bertindak dalam hal Kod Tatalaku.

"Adakah Malaysia akan mempertahankan kedudukan nasionalnya atau beralih kepada kedudukan konsensus dengan sebuah negara? Ini masih menjadi persoalan. Dan bagaimana Kepusatan ASEAN akan disesuaikan dalam orde dunia yang berubah-ubah,” kata Singh.

Pada Januari nanti, dasar luar Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru dipilih, Donald Trump, pasti akan membawa kesan kepada perdagangan dan keselamatan di rantau ini, yang akhirnya mempengaruhi hala tuju ASEAN.

"Ini adalah masa yang sangat mencabar bagi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN kerana banyak isu yang berlaku di rantau ini dan dunia. Mereka akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan rantau ini.

"Malaysia berada di kedudukan strategik, termasuk dari segi geografi, dan ia perlu mencari keseimbangan antara ASEAN dan China serta memainkan peranan diplomatik yang berkecuali untuk melindungi negara-negara kecil,” kata Ketua Pengarah Institut Hubungan Antarabangsa yang berpusat di Phnom Penh, Dr Kin Phea, kepada Bernama.

Sememangnya ia adalah tugas berat untuk Anwar, menurut para pakar serantau, memandangkan wacana politik kini bergerak pantas dalam pelbagai arah di bawah tekanan ketegangan global. Konflik Gaza yang tidak berkesudahan, ketegangan di Semenanjung Korea sejak 1950, ketegangan perdagangan AS-China, perang Ukraine-Rusia - semuanya berpotensi menimbulkan kebimbangan di rantau ini.

Sementara ASEAN akan kekal sebagai asas strategi dasar luar Malaysia, kemahiran diplomatik dan keteguhan kepemimpinannya dalam mengemudi realiti yang mencabar, akan menjadi penentu dalam memimpin kumpulan serantau itu pada 2025. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!