Malaysia diseru bantu hentikan pembunuhan beramai-ramai di Sudan

H.E Hassan Abdelsalam Omer. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
H.E Hassan Abdelsalam Omer. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Sudan berharap Malaysia dapat memainkan peranannya dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membantunya menyelesaikan krisis kemanusiaan yang kritikal di republik itu akibat serangan pemberontak yang didalangi oleh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

Duta Besar Republik Sudan ke Malaysia, H.E Hassan Abdelsalam Omer berkata, peranan Malaysia sangat penting bagi membawa keamanan dan kestabilan di Sudan.

“Kami juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengiktiraf RSF sebagai organisasi pengganas dan mengutuk pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan ke atas rakyat Sudan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kedutaan Sudan di sini pada Isnin.

Jelas, H.E Hassan dalam serangan sejak 20 Oktober lalu, lebih 40 bandar dan kampung di seluruh Negeri Al-Jazirah Timur dan wilayah Al-Butana telah diserang oleh RSF.

H.E Hassan Abdelsalam Omer ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Kedutaan Sudan di Kuala Lumpur pada Isnin. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
H.E Hassan Abdelsalam Omer ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Kedutaan Sudan di Kuala Lumpur pada Isnin. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

Militia RSF Janjaweed turut melakukan pembunuhan beramai-ramai di Al-Hilaliya, Timur Al-Jazirah menyebabkan 260 mangsa ditemukan mati akibat ditembak.

“Setakat ini juga 135,400 orang telah kehilangan tempat tinggal di seluruh Al-Jazirah manakala 30 kampung dimusnahkan RSF.

“Sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa akan menjadikan RSF dan penajanya semakin berani dan terus melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Sudan yang tidak berdosa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, mereka yang bertanggungjawab menaja dan menyokong pembunuhan beramai-beramai itu harus ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal dan langkah itu tidak akan berjaya jika masyarakat Islam antarabangsa tidak membantu.

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) menganggarkan bahawa 9,332 keluarga telah dipindahkan dari Tambul dan kawasan sekitarnya di Timur Al-Jazirah bermula 20 hingga 27 Oktober lalu.

“Serangan RSF selama tiga hari di kampung Al Sereicha baru-baru ini menyebabkan 124 orang mati dengan 200 kecederaan direkodkan oleh kumpulan pemantau tempatan Al-Jazirah Conference.

“Kumpulan pemantau itu juga mengesahkan penahanan 150 orang awam di markas RSF di perkampungan Kab Al-Jadid,” katanya.

H.E Hassan berkata, pihaknya turut menerima laporan RSF semakin berani bertindak kejam membunuh seorang ibu bersama bayinya ketika ditahan di markas kumpulan militia itu.

Militia RSF juga telah memusnahkan infrastruktur dan kemudahan penting penduduk termasuklah 10 telaga air, 18 kilang bijirin, dan 10 farmasi selain menuntut wang tebusan sebanyak satu juta pound Sudan (kira-kira AS$450) bagi membebaskan seorang tahanan dengan dianggarkan 30,000 orang masih terperangkap.

Pasukan perubatan Sudan mengesahkan 47 wanita telah menjadi mangsa rogol, termasuk kematian kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, di sebuah kampung di Timur Al-Jazirah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!