Tiada adab guna slogan unsur lucah promosi donat susu - GPMS Kedah

Tangkap layar video yang tular dan mendapat reaksi negatif daripada netizen di media sosial.
Tangkap layar video yang tular dan mendapat reaksi negatif daripada netizen di media sosial.
A
A
A

ALOR SETAR - Tindakan peniaga donat susu di festival makanan di negeri ini yang menggunakan slogan berunsur tidak senonoh dan lucah untuk mempromosikan jualannya dianggap biadab dan tidak bermoral

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Kedah Negeri, Izharul Khairi Taharuddin berkata, kaedah pemasaran itu telah menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat umum terutama mereka yang prihatin terhadap perkembangan moral anak muda.

Menurutnya, pihaknya mengecam kaedah pemasaran yang tidak sihat ini kerana menggunakan kandungan berbentuk jijik, lucah dan menjengkelkan.

"Walaupun terdapat pandangan bahawa 'bad marketing is still marketing'. Bagi kami, pandangan sebegini adalah tidak bertanggungjawab dan hanya merendahkan nilai moral.

"GPMS Kedah berpendapat bahawa terdapat banyak cara lain untuk mempromosikan perniagaan secara profesional, sopan, dan beretika," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Izharul Khairi Taharuddin
Izharul Khairi Taharuddin

Jelas Izharul Khairi, fenomena tersebut bukan sahaja mencemar nilai adab dan budaya bangsa tetapi turut menyumbang kepada penurunan nilai moral secara keseluruhan.

Beliau menegaskan, fenomena ini mesti dibendung sebelum menjadi budaya yang lebih luas dan membahayakan nilai-nilai adab dalam kalangan generasi muda.

Artikel Berkaitan:

"GPMS Kedah juga menyeru pihak penganjur program agar lebih peka dan teliti dalam memilih pempengaruh yang akan terlibat.

"Etika perniagaan yang baik bukan sahaja akan meningkatkan imej peniaga tetapi juga menjaga kesucian nilai dan adab masyarakat kita.

"Kami percaya bahawa perniagaan boleh berjaya tanpa perlu merendahkan nilai etika dan moral," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!