Percubaan kedua DSAT Group miliki KDA FC gagal
PERCUBAAN kedua DSAT Group melalui anak syarikatnya, Mahsuri Medical Centre (MMC) untuk mengambil alih Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak kesampaian apabila tidak diterima pengurusan kelab tersebut.
Sang Kenari dalam satu kenyataan berkata, satu surat telah dihantar kepada MMC pada Ahad untuk memaklumkan perkara tersebut.
"Pihak KDA FC telah menghantar surat kepada MMC untuk memaklumkan bahawa kelab telah memutuskan untuk tidak meneruskan perbincangan tentang penjualan 100 peratus saham KDA FC.
"Kami mendoakan yang terbaik kepada MMC dalam pembangunan perniagaan di masa hadapan," katanya pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MMC, Dr Zaki Zamani Abd Rashid berkata, pihaknya telah menerima surat maklumbalas KDA FC yang telah membuat keputusan untuk mengubah pendirian mereka dan tidak meneruskan perbincangan.
Menurutnya, MMC menerima keputusan KDA FC dengan hati terbuka walaupun persetujuan meneruskan perbincangan melalui peguam masing-masing telah diterima pada Khamis lalu.
Bagaimanapun Zaki Zamani berkata, pihaknya berpandangan bahawa keputusan yang diambil oleh KDA FC pada hari ini mungkin dipengaruhi oleh sentimen tidak sihat dan merupakan cerminan kenyataan pihak tertentu yang mahu mencemarkan reputasi MMC khususnya DSAT Group.
"Mengambil kira perkembangan ini, pihak MMC dan DSAT Group tidak menolak kemungkinan akan ada pihak yang perlu dipertanggungjawabkan di atas kerosakan reputasi DSAT Group ini melalui tindakan undang-undang.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong usaha kami untuk memiliki KDA FC, walaupun gagal.
"MMC mengucapkan selamat maju jaya kepada KDA FC dan didoakan semoga sentiasa cemerlang dalam arena bolasepak tanah air," ujarnya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek berkata, mereka berhasrat untuk mengambil alih kesemua kepentingan saham dan liabiliti dalam Darulaman Football Club Sdn Bhd (DFCSB) sekaligus menjadi pemilik baharu KDA FC.
Satu perbincangan sudahpun diadakan pada tahun lalu bersama pemilik saham majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tentang pemilikan saham kelab namun hasil perjumpaan itu gagal mencapai kata putus yang diharapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!