Penunggang motosikal maut langgar lembu

Seorang penunggang motosikal maut akibat terlanggar lembu di Kilometer 33 Jalan Felda Bukit Serampang-Kebun Baru, Tangkak pada Isnin.
Seorang penunggang motosikal maut akibat terlanggar lembu di Kilometer 33 Jalan Felda Bukit Serampang-Kebun Baru, Tangkak pada Isnin.
A
A
A

TANGKAK – Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai terlanggar seekor lembu di Kilometer 33 Jalan Felda Bukit Serampang-Kebun Baru di sini, pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintenden Idris Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku semasa lelaki berusia 24 tahun itu dalam perjalanan ke tempat kerja sekitar jam 6.35 pagi.

“Kemalangan berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal Yamaha dalam perjalanan dari Felda Sri Ledang menghala ke tempat kerja.

“Apabila sampai di lokasi kejadian telah melanggar seekor lembu yang berkeliaran atas jalan di laluannya.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan lembu berkenaan difahamkan turut mati," katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, kemalangan itu disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Penduduk dinasihatkan agar memastikan ternakan mereka tidak berkeliaran atas jalan raya dan kawasan lain yang boleh mengganggu kelancaran lalu lintas serta menyebabkan kemalangan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Faszrulhaq Zulkapli 012-2306943," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!