Bangunkan dasar anti buli, program kesedaran - Lam Thye

Lam Thye. Foto Sinar Harian.
Lam Thye. Foto Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan) menggesa pihak berkuasa pendidikan, pembuat dasar dan masyarakat supaya mengambil tindakan segera dalam menangani isu buli dengan membangunkan dasar yang jelas serta program kesedaran menyeluruh.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Lee Lam Thye berkata, ia kerana budaya buli merosakkan persekitaran pendidikan dan mewujudkan suasana tidak mesra atau kurang selamat hingga akhirnya menjejaskan pelajar, guru serta kakitangan.

Menurut aktivis sosial itu, setiap institusi pendidikan perlu menguatkuasakan dasar anti buli dengan mentakrifkan tindakan yang dikategorikan sebagai buli dan akibat daripada tingkah laku sedemikian.

"Dasar ini mesti disampaikan dengan jelas kepada semua pelajar, ibu bapa dan kakitangan.

"Sekolah dan universiti perlu mengintegrasikan program anti buli dan pembangunan empati dalam kurikulum agar ia membantu pelajar mengenal pasti buli, memahami kesan serta mempelajari cara bertindak jika mengalami atau menyaksikannya.

"Buli bukan sahaja beri kesan kepada kesihatan mental dan fizikal, ia juga menghalang perkembangan akademik serta sosial pelajar," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Rabu lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan, seorang pegawai kadet tahun dua di Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK-UPNM) Sungai Besi dipercayai menjadi mangsa buli dan dera.

Mangsa yang mengambil jurusan kejuruteraan itu didakwa dibuli penuntut senior dan kes terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih bertugas yang menyedari terdapat kesan kecederaan pada tubuh badan.

Artikel Berkaitan:

ATM turut menyatakan, tindakan disiplin yang keras bakal dikenakan kepada pihak yang terlibat, jika terbukti bersalah.

Sebelum ini, UPNM juga digemparkan dengan kejadian membabitkan seorang pelajar ditekap menggunakan sterika di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.

Terbaharu, seorang pelajar tahun satu universiti berkenaan cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.

Lam Thye berpandangan, tiada toleransi terhadap masalah buli di institusi pendidikan dan pihaknya yang menentang segala bentuk keganasan akan terus memperjuangkan persekitaran pembelajaran selamat serta inklusif.

"Menangani buli memerlukan penglibatan ibu bapa, penjaga dan komuniti melalui bengkel, mendidik anak-anak tentang tanda buli serta cara menyokong mereka ketika dalam situasi sukar.

"Institusi pendidikan juga perlu sediakan saluran selamat dan mudah diakses pelajar untuk lapor kejadian buli, termasuk sistem pelaporan tanpa nama. Selain itu, sokongan rakan sebaya.

"Akhiri buli dan pastikan semua pelajar dapat belajar dalam suasana yang menyokong serta bebas daripada ketakutan," ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!