Kajian teknikal pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok bermula tahun depan
KUALA LUMPUR - Kajian teknikal berhubung pelaksanaan projek pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok dijangka bermula tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, kajian berkenaan yang diterajui oleh Pasukan Khas Jambatan Labuan-Sabah di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), akan meneliti dan melihat secara mendalam pelbagai aspek, termasuk kebolehlaksanaan cadangan pembinaan jambatan berkenaan.
"Kita telah dapat peruntukan sebanyak RM500,000, yang ini telah dimaklumkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) sendiri kepada saya dan ini bajet permulaan untuk kita mulakan kajian jelas bagi jambatan tersebut.
"Kami tidak akan berhenti berusaha untuk memajukan perbincangan mengenai projek ini, namun pada masa sama, kita juga perlu melihat kepada usaha lain yang dapat meningkatkan hubungan di Labuan,” katanya pada sidang media selepas Sesi Penggulungan Sidang Belia Wilayah Persekutuan, di sini pada Isnin.
Pada masa sama, Zaliha berkata, pihaknya akan memantau perkembangan projek jambatan berkenaan dengan teliti biarpun pelaksanaannya diserahkan kepada KKR.
Selain jambatan, Zaliha berkata, pihaknya turut melihat dari aspek pengangkutan udara dan menyifatkan penambahan penerbangan oleh syarikat penerbangan AirAsia seperti diumumkan baru-baru ini adalah satu perkembangan positif.
Projek Jambatan Labuan-Menumbok dijangka membawa perubahan besar kepada infrastruktur Labuan, memudahkan perjalanan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta sosial di kawasan tersebut.
Sementara itu mengenai persidangan hari ini, Zaliha berkata, terdapat 16 usul dikemukakan dengan hanya tiga ditolak, dan kebanyakan tema usul mengenai topik berkaitan infrastruktur di Labuan seperti elektrik dan air selain isu pendidikan di Wilayah Persekutuan.
"Turut dibawa dalam persidangan berkenaan isu mengenai aspirasi dibawa oleh Wilayah Persekutuan sebagai Bandar Raya Pintar dan Hijau dan Lestari, yang dibahaskan dengan baik.
"Saya juga ingin melihat satu perkara yang mereka angkat dalam sidang kali ini iaitu menyokong langkah kerajaan dalam isu Palestin. Mereka secara sebulat suara menyokong untuk pelucutan kenaggotaan rejim zionis Israel daripada PBB,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!